TEPAT.BENAR.BEBAS

Ahli Parlimen Parit Buntar diarah keluar Dewan selepas pertikaman lidah isu arak

image

Berita Berita

Kongsi

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Sidang Dewan Rakyat pada Selasa kecoh seketika apabila berlaku pertikaman lidah antara beberapa ahli Parlimen berhubung isu arak.

Kekecohan bermula apabila Mohd Misbahul Munir Masduki (PN–Parit Buntar) mencelah perbahasan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN–Alor Setar) ketika membahaskan Belanjawan 2026 di peringkat dasar.

Misbahul Munir menyatakan bahawa pandangan beberapa agama seperti Buddha, Sikh, Hindu dan Kristian tidak menggalakkan pengambilan arak, yang menurutnya menjadi antara punca kepada masalah kesihatan.

Namun, kenyataan itu segera dipersoalkan Chong Zhemin (PH–Kampar) yang bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(11) untuk membetulkan kenyataan tersebut.

“Tadi Parit Buntar menyatakan bahawa semua agama mengharamkan minum arak, itu tidak betul,” katanya.

Mohd Misbahul Munir kemudian menyangkal dakwaan itu, menegaskan bahawa beliau tidak menggunakan perkataan ‘haram’.

“Saya tidak sebut haram. Saya sebut tidak menggalakkan,” katanya.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Syahredzan Johan, kemudian menegur Mohd Misbahul Munir agar tidak memberikan pandangan berdasarkan perspektif agama lain.

Namun, keadaan semakin tegang apabila Chong Zhemin menyindir dengan berkata:

“Itu bukan pandangan, itu fakta yang salah. Ataupun Parit Buntar sudah mabuk?”

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan Mohd Misbahul Munir yang membalas:

“Awak yang gila.”

Syahredzan kemudiannya meminta kedua-dua ahli Parlimen menarik balik kenyataan masing-masing, namun Parit Buntar enggan berbuat demikian.

Akibat keengganannya, Mohd Misbahul Munir diarahkan keluar Dewan buat sementara waktu sebagai tindakan disiplin.

+ - reset