TEPAT.BENAR.BEBAS

Lawatan Prabowo ke Malaysia dipendekkan kerana urusan domestik, bukan isu salah sebut nama – Duta Indonesia

image

Berita Berita

Kongsi

SHAH ALAM 28 Okt. – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto terpaksa memendekkan lawatannya ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 disebabkan agenda padat domestik, dan bukannya akibat kesilapan pengulas Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyebut namanya.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono, menjelaskan perkara itu telah disahkan oleh jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Yvonne Mewengkang.

“Ia tiada kaitan langsung dengan kesilapan sebutan namanya oleh pengulas RTM,” katanya sebagaimana dilaporkan portal Free Malaysia Today (FMT).

Terdahulu, pada Ahad lalu, RTM telah memohon maaf atas kesilapan pengulasnya yang tersilap menyebut nama Presiden Republik Indonesia semasa siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam kenyataan rasmi, Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran Malaysia memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati pengulas tersebut secara tidak sengaja menyebut nama Joko Widodo, sedangkan Presiden Indonesia ketika ini ialah Prabowo Subianto.

Sementara itu, menurut The Jakarta Post, Prabowo menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS pada Ahad, di mana Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi menegaskan komitmen Washington terhadap Indo-Pasifik dan menyatakan AS 100 peratus menyokong Asia Tenggara.

Laporan sama menyebut, walaupun Prabowo pada asalnya dijadual hadir sepanjang tempoh sidang tiga hari itu, beliau memutuskan untuk pulang lebih awal pada petang Isnin selepas menghadiri beberapa sesi penting, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-28, serta majlis resepsi memperingati kemasukan Timor-Leste ke ASEAN.

Selepas keberangkatan pulang Prabowo, delegasi Indonesia diteruskan oleh beberapa menteri Kabinetnya, termasuk Menteri Luar Negeri, Sugiono, dan Menteri Penyelaras Ekonomi, Airlangga Hartarto.

+ - reset