TEPAT.BENAR.BEBAS

Pencarum KWSP terdesak gesa kerajaan pertimbang dua cadangan kaedah pengeluaran Akaun 1 - PGIRM

image

Berita Berita

Kongsi

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

 

KUALA LUMPUR 12 Feb – Ratusan ribu pencarum di seluruh negara yang terdesak dan tercicir terus mendesak agar kerajaan meluluskan tuntutan pengeluaran daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Berdasarkan kajian terperinci yang dijalankan, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) mendapati beberapa faktor utama yang menyebabkan pencarum ini terdesak dalam usaha mereka mendapatkan kelulusan pengeluaran daripada Akaun 1.

Presiden PGIRM), Azmi Mohd Tahir berkata, kajian menunjukkan tiga faktor utama yang mendorong pencarum untuk terus mendesak pengeluaran ini:

1. Pendapatan Tidak Seimbang

Ramai pencarum yang terjejas pendapatannya berbanding sebelum pandemik COVID-19, di mana banyak syarikat yang tidak dapat mengekalkan kadar pendapatan yang sama seperti sebelum ini.

2. Pemberhentian Kerja & Kesukaran Mendapatkan Pekerjaan Baru

Pencarum yang diberhentikan kerja pada pertengahan usia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan baru disebabkan oleh faktor kesihatan, gaji sebelumnya yang lebih tinggi, dan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

3. Ketidakadilan dalam Penggunaan Akaun Fleksibel

Terdapat pencarum yang tidak mempunyai baki yang mencukupi di Akaun 2 (Sejahtera) untuk dipindahkan ke Akaun Fleksibel, namun mereka mempunyai simpanan yang lebih banyak di Akaun 1 (Persaraan), menyebabkan mereka merasa tidak adil apabila tidak dapat mengakses simpanan tersebut.

Sehubungan dengan itu, pihak PGIRM mengemukakan dua kaedah pengeluaran daripada Akaun 1 untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan:

Kaedah Pertama – Pengeluaran untuk pencarum berusia antara 31 hingga 54 tahun.  

- Pencarum dengan baki simpanan di bawah RM100,000 dibenarkan pengeluaran maksimum 50% daripada Akaun 1.  

- Pencarum dengan baki simpanan melebihi RM100,000 dibenarkan pengeluaran maksimum RM50,000.  

Jumlah yang dituntut akan dipindahkan ke dalam Akaun Fleksibel dan bukan ke dalam akaun bank pencarum, bagi membolehkan mereka mengeluarkan jumlah yang diperlukan dan menyimpan baki untuk kecemasan.

Pihak KWSP boleh mengatur penambahan semula jumlah yang telah dipindahkan melalui caruman dan dividen yang diterima.

Kaedah Kedua

Pengeluaran untuk pencarum yang tidak mencarum lebih daripada dua tahun, terutamanya suri rumah, ibu tunggal, golongan tiada pendapatan tetap, peniaga sendiri, pekerja bebas, dan e-hailing.  

- Pilihan pertama: Persaraan awal dengan mengeluarkan kesemua baki Akaun 1 dan meninggalkan RM2,500 dalam akaun KWSP.  

- Pilihan kedua: Persaraan awal dan membatalkan keahlian KWSP secara terus.

Azmi turut menegaskan bahawa dengan adanya pilihan-pilihan ini, pihak KWSP tidak perlu lagi memikirkan masa depan dan persaraan pencarum tersebut, kerana ianya adalah hak mereka untuk memilih.

Beliau juga menambah bahawa dividen boleh ditingkatkan kepada pencarum aktif yang terus mencarum dalam KWSP.

"Pihak kami mewakili suara pencarum terdesak dan tercicir di seluruh Malaysia, dan kami berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tuntutan ini demi kesejahteraan golongan yang terjejas. Kami yakin bahawa langkah-langkah ini akan memberi manfaat kepada pencarum yang menghadapi kesulitan hidup,” katanya. - Media Telus

+ - reset