AI tak boleh ganti manusia, kemahiran teras kemajuan negara - Ahmad Zahid
Berita Berita
KUALA LUMPUR 22 Okt - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa kemahiran merupakan mata wang sebenar masa depan, manakala pengetahuan pula menjadi kunci utama yang membuka pintu kepada kemakmuran bersama.
Berucap ketika merasmikan Forum Kemahiran Global 2025 di Kuala Lumpur hari ini, Zahid berkata dunia kini sedang melalui perubahan pesat didorong oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau dan dinamik perdagangan global — yang menuntut setiap negara memperkukuh keupayaan modal insan.
“Dalam era ini, kemahiran bukan lagi isu sampingan, tetapi berada di tengah strategi pembangunan negara.
Saya ingin ulangi — kemahiran adalah mata wang sebenar masa depan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, forum yang dihadiri hampir 50 negara rantau Asia Pasifik dan ASEAN itu membuktikan komitmen global terhadap agenda pembangunan kemahiran dan keadilan sosial.
“Ini bukan hanya soal latihan atau pekerjaan, tetapi tentang memulihkan maruah pekerja, memberi makna kepada usaha, serta membina masa depan yang seimbang antara kemajuan dan belas ihsan,” katanya.
Ahmad Zahid menegaskan, Malaysia berbangga menjadi tuan rumah sempena Tahun Kemahiran ASEAN 2025, bukan sekadar sebagai simbol kejayaan, tetapi sebagai tanda komitmen terhadap pembangunan tenaga kerja yang berdaya saing dan beretika.
Menurutnya, dalam Islam, konsep ‘ilm’ (ilmu) dan ‘amal’ (kerja) adalah dua tunjang penting – ilmu sebagai cahaya dan amal sebagai ibadah. Maka, pembangunan kemahiran bukan sekadar keperluan ekonomi, tetapi juga satu tanggungjawab moral dan spiritual.
“Kita tidak boleh membina bandar pintar tanpa warganya yang bijaksana, dan tidak boleh mengejar inovasi tanpa nilai kemanusiaan,” ujar beliau.
Menyentuh kemajuan teknologi, Ahmad Zahid berkata walaupun AI mampu menterjemah bahasa, menganalisis data dan mengoptimumkan pengeluaran, namun ia tidak akan dapat menggantikan pertimbangan, kesabaran dan empati manusia.
“Teknologi harus bergerak dengan kebijaksanaan, dan kemajuan mesti datang dengan tujuan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa jika pembangunan AI tidak disertai pembangunan kemahiran, dunia akan berdepan jurang baharu antara masyarakat berkemahiran dan tidak berkemahiran.
“Perpecahan masa depan bukan lagi antara negara kaya dan miskin, tetapi antara masyarakat yang berkemahiran dan yang tidak,” katanya sambil menegaskan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat.
Zahid berkata Malaysia melihat perubahan global ini sebagai peluang untuk bertindak, bukan ancaman.
Melalui Rangka Kerja Malaysia MADANI, kerajaan sedang melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap ekosistem kemahiran dengan menyepadukan pendidikan, industri, dan teknologi.
“Setiap transformasi digital dan industri mesti kekal berpusatkan manusia. Fokus kita terhadap pembelajaran sepanjang hayat, TVET dan pembangunan modal insan adalah untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cekap, tetapi juga kreatif dan profesional,” katanya.
Beliau menambah, generasi muda perlu berdiri teguh di era AI bukan sebagai pengikut mesin, tetapi sebagai ‘tuan muda teknologi’ yang bijak memimpin perubahan.
Mengulas peranan Malaysia dalam ASEAN, Zahid berkata, rantau ini dengan lebih 700 juta penduduk, majoritinya berusia di bawah 35 tahun, mempunyai potensi besar untuk menjadi pusat inovasi global jika pelaburan kemahiran dibuat dengan bijak.
“Tahun Kemahiran ASEAN ini menandakan komitmen kita untuk memperkukuh sistem kemahiran nasional, memperluas peluang latihan bagi wanita, belia dan OKU, serta mengiktiraf kemahiran rentas sempadan agar ASEAN dapat bergerak sebagai satu entiti,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan kemahiran tidak boleh digerakkan oleh kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan kolaborasi rapat dengan sektor swasta, industri dan masyarakat sivil.
“Setiap pelaburan dalam kemahiran adalah pelaburan dalam daya saing, inovasi dan kemakmuran. Sektor swasta bukan hanya penerima manfaat, tetapi rakan pencipta bakat dan pembangunan negara,” ujarnya.
Ahmad Zahid menutup ucapannya dengan menyeru semua negara ASEAN untuk bersatu membina masa depan kerja yang berpaksikan kemahiran, tujuan dan kerjasama sejati.
“Kemajuan tanpa tujuan adalah kosong, dan inovasi tanpa inklusiviti adalah buta. Masa depan kerja adalah milik mereka yang membinanya bersama,” katanya sambil merasmikan Forum Kemahiran Global 2025.


