TEPAT.BENAR.BEBAS

Donald Trump bakal tiba di Malaysia Ahad ini hadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

image

Berita Berita

Kongsi

KUALA LUMPUR 22 Okt– Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijadual tiba di Malaysia Ahad ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di ibu negara.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil, berkata pengesahan kehadiran Trump dimaklumkan semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas.

“Sah Donald Trump akan tiba di Malaysia pada 26 Oktober dan sekiranya ada sebarang perubahan, ia akan dimaklumkan oleh Kementerian Luar,” katanya dalam sidang media selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa dan Pusat Penyiaran Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj, bersama beberapa pegawai kanan organisasi berita itu.

Fahmi bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai perincian lawatan sulung Trump ke Kuala Lumpur sejak beliau kembali menduduki Rumah Putih untuk penggal kedua pada November tahun lalu.

Trump sebelum ini dilaporkan menyatakan secara terbuka mengenai rancangannya melawat Malaysia dalam masa terdekat, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober, dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun dan India. 

+ - reset