Diskaun 50 peratus saman JPJ kekal hingga hujung tahun ini
Berita Berita
KUALA LUMPUR 22 Okt. – Kementerian Pengangkutan mengekalkan kadar diskaun 50 peratus bagi saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk kesalahan dikesan melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) bermula 1 November hingga 31 Disember ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata keputusan mengekalkan kadar itu dibuat bagi memastikan keadilan kepada individu yang telah menjelaskan saman lebih awal sejak tawaran diskaun berkenaan diperkenalkan awal tahun ini.
“Sejak awal tahun, JPJ sudah pun menawarkan pengurangan 50 peratus bagi saman AwAS dan saman di bawah Seksyen 22.
"Jadi kalau sekarang kita memberikan diskaun 70 peratus, ia tidak adil kepada mereka yang sudah bayar lebih awal. Sebab itu kita kekalkan kadar 50 peratus hingga hujung tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengenai penyelarasan kadar kompaun JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Media Parlimen, hari ini.
Terdahulu, pada 2 Januari lalu, JPJ menawarkan kompaun khas kadar rata RM150 bagi tiga jenis saman selama enam bulan bermula 3 Januari, melibatkan:
-
Saman AwAS (Saman 53A)
-
Notis Temu Siasat (114)
-
Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115)
di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) yang boleh dikompaun.
Anthony berkata, sehingga 21 Oktober lalu, JPJ telah berjaya menyelesaikan 1.4 juta saman AwAS dengan jumlah kutipan RM425 juta.
“Jumlah ini menunjukkan sambutan yang baik daripada orang ramai untuk menyelesaikan saman tertunggak.
Namun, tawaran diskaun juga menyebabkan ada yang menangguhkan bayaran kerana menunggu tempoh tawaran khas,” jelasnya.


