TEPAT.BENAR.BEBAS

Kenaikan peruntukan untuk Sabah bukan isu politik - Anwar

image

Berita Berita

Kongsi

PUTRAJAYA 22 Okt. – Keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan kepada Sabah bukan bermotifkan politik, sebaliknya dibuat atas dasar keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan, sebelum ini kerajaan terdahulu memperuntukkan RM126 juta kepada Sabah, namun jumlah itu ditingkatkan secara berperingkat selepas semakan semula dibuat oleh kerajaan pimpinannya.

“Tahun 2023, peruntukan dinaikkan kepada RM300 juta dan bagi tahun 2025, sekali lagi dinaikkan kepada RM600 juta. Itu pun kita sebut sebagai interim,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk mengumpul data hasil cukai dari Sabah yang berjumlah RM10 bilion, manakala perbelanjaan untuk negeri itu pada tahun 2025 dan unjuran 2026 mencecah RM17 bilion.

“Ini bukan kerana pertimbangan khusus Sabah, tetapi kerana keperluan membina lebuh raya, menyelesaikan projek bekalan air serta membantu Sabah Elektrik yang kini di bawah kerajaan negeri.

Walaupun diserah kepada negeri, Kerajaan Persekutuan masih menanggung perbelanjaan RM1.2 bilion dalam bentuk bantuan dan pinjaman,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, perkara ini perlu diperjelaskan di Parlimen bagi menangkis tohmahan politik yang mendakwa kerajaan berat sebelah dalam menyalurkan dana kepada negeri tertentu.

“Kalau ada pandangan mengatakan dana pendidikan di Sabah harus ditingkatkan, saya tiada masalah. Hasil dari Sabah RM10 bilion, tetapi perbelanjaan RM17 bilion – bagi saya itu bukan isu, kerana ia berdasarkan keperluan rakyat,” katanya.

Anwar turut menegaskan, kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana negeri, termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang turut menerima peruntukan tambahan bagi menangani bencana seperti banjir.

“Kita tidak boleh biarkan negeri yang kekurangan terus ketinggalan hanya kerana perbezaan politik. Ini soal amanah kerajaan dan keperluan rakyat,” ujarnya.

Beliau menambah, pendekatan diambil Kerajaan Madani mencerminkan tadbir urus berintegriti dan berasaskan nilai moral, bukan kepentingan politik.

Selain itu, Anwar mengulangi komitmen kerajaan untuk meneruskan rundingan dengan kerajaan Sabah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selaras dengan semangat Persekutuan.

+ - reset