Takiyuddin tuntut penjelasan isu dakwaan pemalsuan dokumen pemain Harimau Malaya
Berita Berita
KUALA LUMPUR 22 Okt. – Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan berhubung dakwaan pemalsuan dokumen oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melibatkan tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Kota Bharu (PAS) itu mendakwa JPN telah mengesahkan beberapa dokumen pemain berkenaan sebagai salinan sah, walaupun tidak mempunyai bukti kukuh atau rekod asal dalam arkib jabatan.
“Ini adalah satu kes penipuan yang jelas. Dokumen-dokumen itu dipalsukan dan Ketua Pengarah JPN sendiri mengakui jabatan tidak mempunyai bukti kukuh.
Saya mahu penjelasan bagaimana dan mengapa pemalsuan seperti ini boleh berlaku sehingga memalukan negara di pentas antarabangsa,” katanya.
Takiyuddin menegaskan isu itu amat serius kerana melibatkan integriti jabatan kerajaan dan boleh menjejaskan reputasi Malaysia di mata dunia.
“FIFA ialah badan bola sepak global, bukan organisasi kecil atau amatur. Perkara seperti ini tidak boleh diterima oleh kerajaan yang kononnya menjunjung kedaulatan undang-undang,” tegasnya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib FIFA dalam laporan rasmi bertajuk Notification of the Grounds of the Decision menjelaskan hukuman dikenakan atas pelanggaran Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, membabitkan pemalsuan dan pengubahsuaian dokumen rasmi.
Siasatan mendapati dokumen sokongan dihantar oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), termasuk sijil kelahiran datuk dan nenek pemain, mengandungi butiran tidak sepadan dengan rekod asal negara kelahiran sebenar pemain.
Susulan itu, FAM telah mengemukakan rayuan kepada FIFA, dengan keputusan dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.
Selain itu, Takiyuddin turut membangkitkan isu latihan penguatkuasaan oleh agensi di bawah KDN yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Beliau merujuk insiden 29 September lalu di Masjid Kampung Rusila, Marang, apabila sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan masuk ke dalam masjid menggunakan kasut dan menggeledah premis tersebut.
“Apabila ditegur oleh orang ramai, mereka mendakwa ‘kami polis’. Namun apabila laporan dibuat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjelaskan ia merupakan latihan komando, yang dijalankan tanpa pengetahuan pihak pengurusan masjid.
Apa ini? Adakah ini SOP KDN?” soal beliau.
Ahli Parlimen itu menegaskan, kedua-dua isu berkenaan memerlukan jawapan segera dan telus daripada kementerian, kerana ia membabitkan maruah institusi negara dan sensitiviti awam.


