TEPAT.BENAR.BEBAS

Letupan bunga api di Kulim berpunca daripada bahan piroteknik tidak sah – KDN

image

Berita Berita

Kongsi

PUTRAJAYA 22 Okt. – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan insiden letupan bunga api di Paya Besar, Kulim, Kedah berpunca daripada pembakaran bahan letupan disyaki jenis piroteknik yang tidak dibenarkan untuk jualan kepada orang awam.

Dalam kenyataan hari ini, KDN menegaskan bahawa penjualan, pemilikan dan penggunaan bunga api atau mercun yang tidak diluluskan adalah menyalahi undang-undang di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dua suspek yang disyaki terlibat dalam pembakaran bahan letupan tanpa permit sah telah ditahan.

Siasatan turut merangkumi aspek kecuaian, pemilikan haram serta pengendalian bahan letupan tanpa kebenaran,” kata kenyataan itu.

KDN turut memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan, termasuk penarikan semula kelulusan syarikat pengendali bunga api sekiranya gagal mematuhi syarat keselamatan.

Menurut kementerian itu, kejadian letupan berlaku ketika pertunjukan bunga api sedang berlangsung, mengakibatkan 22 orang cedera, dengan sebahagian dirawat di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Kulim, manakala selebihnya menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“KDN mengingatkan orang awam serta penganjur aktiviti keramaian agar sentiasa mengutamakan keselamatan dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh KDN serta Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas kenyataan itu lagi.

KDN menegaskan pihaknya, bersama PDRM, akan terus memantau situasi semasa sepanjang musim perayaan bagi memastikan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.

“KDN kekal komited memperkukuh peranan menjaga keselamatan dalam negeri, melindungi kepentingan rakyat dan memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

+ - reset