Remaja 14 tahun didakwa bunuh rakan sekolah diperintah jalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia
Berita Berita
PETALING JAYA 22 Okt - Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang dituduh membunuh rakan sekolahnya menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Amira Sariaty Zainal selepas peguam Kitson Foong, yang bertindak sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah), memohon supaya tertuduh dirujuk kepada pakar perubatan bagi penilaian kesihatan mentalnya.
Menurut Kitson, permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, yang memperuntukkan prosedur untuk tertuduh disyaki tidak sempurna akal. Seksyen berkenaan membolehkan mahkamah menilai sama ada perbicaraan boleh diteruskan berdasarkan keadaan mental tertuduh.
“Pemeriksaan psikiatri ini penting bagi memastikan sama ada dia mampu memahami pertuduhan dan membuat pengakuan dengan jelas.
"Paling utama, pakar akan menilai keadaan fikirannya ketika kejadian berlaku,” katanya kepada media selepas prosiding.
Kitson menjelaskan, pemeriksaan itu juga bagi memastikan tertuduh tidak berisiko mencederakan diri sendiri, selain mendapatkan rawatan sewajarnya jika perlu.
Beliau turut memaklumkan bahawa semasa pertuduhan dibacakan minggu lalu, remaja terbabit kelihatan tenang tetapi banyak mendiamkan diri.
Memandangkan kes ini melibatkan pesalah bawah umur, ibu bapa tertuduh turut hadir dan menemaninya sepanjang prosiding, namun hanya dibenarkan berada di luar kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan, pelajar lelaki itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di bilik tandas nombor dua sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, antara jam 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Media tidak dibenarkan merakam gambar tertuduh kerana beliau dibawa masuk melalui laluan khas bagi melindungi identitinya.
Dalam tragedi 14 Oktober lalu, mangsa berusia 16 tahun ditemui mati dengan kesan tikaman berulang kali di dalam tandas sekolah berkenaan, menyebabkan kes tersebut mendapat perhatian meluas masyarakat.


