TEPAT.BENAR.BEBAS

KESUMA bina platform latihan baharu diterajui industri, sasar akses terbuka untuk semua

image

Berita Berita

Kongsi

 

KUALA LUMPUR 22 Okt - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang membangunkan satu platform latihan baharu yang diluluskan pakar industri, bagi memastikan rakyat Malaysia dapat mengakses kursus kemahiran berkualiti tinggi sejajar dengan keperluan pasaran kerja moden.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata platform berkenaan akan menghimpunkan pelbagai kursus kemahiran terbaik daripada penyedia latihan tempatan dan antarabangsa, merangkumi bidang yang kritikal dalam era Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

“Program pendidikan untuk pekerja kita perlu mengandungi komponen ini — belajar di tempat kerja, belajar melalui latihan dan pembelajaran secara berterusan.

“Ia juga mesti tangkas dan fleksibel, iaitu boleh menyesuaikan diri dengan perubahan pantas dalam industri. IR 4.0 seharusnya menjadi revolusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional), kerana IR 4.0 adalah tentang kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kemahiran Global: Tahun Kemahiran ASEAN 2025, di sini hari ini. Forum berkenaan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo dan Naib Presiden Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE), Matthias Thorns.

Sim berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh latihan kemahiran, termasuk menerusi Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang menguruskan levi latihan satu peratus daripada jumlah gaji majikan untuk tujuan upskilling dan reskilling pekerja.

“Untuk tempoh tiga tahun lepas dari 2023 hingga Ogos tahun ini, sebanyak RM5.77 bilion atau hampir 94 peratus daripada RM6.17 bilion levi yang dikutip telah dibelanjakan bagi melatih kira-kira empat juta pekerja,” katanya.

Selain itu, sejak 2023, KESUMA juga menganjurkan Minggu Latihan Kebangsaan (National Training Week, NTW)yang memberikan peluang rakyat Malaysia mengikuti kursus kemahiran secara percuma selama seminggu, meliputi bidang seperti kecerdasan buatan, seni warisan, pengaturcaraan komputer, pengucapan awam, kemahiran digital dan kesihatan mental.

“Pada tahun pertama, NTW menerima penyertaan 130,000 rakyat Malaysia dan jumlah itu meningkat kepada 400,000 pada tahun berikutnya.

“Tahun ini, NTW merekodkan hampir empat juta penyertaan dalam tempoh seminggu, disokong oleh 1,556 penyedia latihan yang menawarkan lebih 73,000 kursus percuma,” katanya.

Steven Sim turut berkongsi bahawa inisiatif NTW mendapat pengiktirafan di peringkat serantau, apabila Indonesia, Myanmar dan Timor-Leste telah mengambil konsep sama untuk dilaksanakan di negara masing-masing sebagai model pembangunan kemahiran dan tenaga kerja berdaya saing.

“Kejayaan NTW membuktikan semangat pembelajaran sepanjang hayat semakin subur dalam kalangan rakyat Malaysia. Ini adalah asas kepada ekonomi berkemahiran tinggi yang kita ingin bina,” katanya.

+ - reset