Menantu Muhyiddin dikesan hidup mewah di Asia Barat, akan tetap didakwa tanpa kehadiran
Berita Berita
PUTRAJAYA, 22 Okt - Ahli perniagaan Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, menantu kepada bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menjadi buruan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lebih dua tahun lalu, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di sebuah negara Asia Barat.
Menurut laporan New Straits Times (NST), beberapa gambar yang diterima menunjukkan Adlan bergaul dengan kenamaan dari rantau itu, malah dalam salah satu foto turut kelihatan potret pemimpin tertinggi negara berkenaan.
Sumber memberitahu bahawa Adlan sering keluar masuk negara berkenaan bagi melakukan perjalanan ke luar termasuk ke Thailand untuk bermain golf dan aktiviti menembak, namun maklumat mengenai keberadaan keluarganya masih belum dapat disahkan.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan Adlan dipercayai menetap di negara tanpa perjanjian ekstradisi dengan Malaysia, menyukarkan usaha membawa beliau pulang untuk menghadapi pertuduhan pecah amanah.
Lari ke luar negara selepas Muhyiddin didakwa
Adlan, 49 tahun, dilaporkan meninggalkan Malaysia ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mentuanya didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.
Turut melarikan diri ialah peguamnya, Mansoor Saat, 70, yang meninggalkan negara empat hari kemudian menuju ke Jakarta. Kedua-duanya kini dikehendaki pihak berkuasa atas pertuduhan pecah amanah membabitkan projek National Enforcement and Registration System (NERS) bernilai RM595 juta.
Projek itu bertujuan memperkukuh keselamatan negara melalui sistem biometrik bagi pelawat asing, namun siasatan mendapati RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) diseleweng dan tidak digunakan bagi pembayaran balik sukuk.
Dikesan enggan beri kerjasama
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata siasatan bermula pada 13 Mac 2023 selepas laporan rasmi diterima.
“Antara Mei hingga Ogos 2023, pegawai penyiasat menghubungi Adlan berkali-kali melalui panggilan telefon, WhatsApp dan surat rasmi bagi memintanya hadir ke ibu pejabat SPRM,” katanya.
Namun, Adlan gagal tampil meskipun telah memberikan jaminan akan pulang dari Auckland, New Zealand, menyebabkan SPRM mengaktifkan beberapa langkah undang-undang termasuk:
Mengisytiharkan kedua-duanya sebagai individu dikehendaki (7 Ogos 2023);
Memohon waran tangkap daripada Mahkamah Majistret Shah Alam (7 Sept 2023);
Mengemukakan Notis Merah Interpol melalui Jabatan Peguam Negara (Okt 2023);
Membatalkan pasport mereka antara Ogos dan September 2023; serta
Mengemukakan laporan susulan kepada Interpol sepanjang 2024 dan 2025.
“Kegagalan beliau memberi kerjasama memaksa SPRM menggunakan saluran antarabangsa bagi mengesannya,” kata Khusairi sambil menegaskan bahawa setiap langkah dilakukan mengikut undang-undang dan protokol antarabangsa.
Didakwa tanpa kehadiran
Selepas semua usaha gagal, SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju untuk mendakwa Adlan dan Mansoor secara in absentia (tanpa kehadiran).
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, pada 16 Oktober lalu mengesahkan siasatan ke atas Adlan selesai dan arahan pendakwaan telah dikeluarkan.
“Semua kertas siasatan dan bahan bukti telah diserahkan kepada AGC. Kebenaran untuk mendakwa diperoleh pada 15 Ogos 2023,” jelas Khusairi.
Beliau menegaskan, SPRM komited memastikan tiada sesiapa — tanpa mengira pangkat atau hubungan politik — berada di atas undang-undang.
“Keutamaan kami ialah menegakkan kedaulatan undang-undang secara telus, sah dan berintegriti,” katanya.


