TEPAT.BENAR.BEBAS

Modi sertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara maya sempena Deepavali

image

Berita Berita

Kongsi

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Perdana Menteri India, Narendra Modi akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 secara dalam talian kerana sambutan perayaan Deepavali masih berlangsung di negaranya ketika sidang berkenaan diadakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas menerima panggilan telefon daripada Modi malam tadi.

“Saya menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar berkata, perbualan itu turut menyentuh usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh.

Beliau menegaskan, India kekal sebagai rakan penting Malaysia dalam bidang perdagangan dan pelaburan, selain kerjasama erat dalam sektor teknologi, pendidikan dan keselamatan serantau.

“Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia-India serta meningkatkan kerjasama ASEAN-India ke arah mewujudkan rantau yang lebih aman dan makmur,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober ini, dengan penyertaan lebih 30 ketua negara dan kerajaan bagi membincangkan isu keamanan serantau, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan.”

+ - reset