Masjid Rusila nafi beri kebenaran kepada Maritim Malaysia jalankan latihan
Berita Berita
MARANG 23 Okt. – Jawatankuasa Masjid Rusila menafikan memberi sebarang kebenaran atau menerima permohonan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhubung aktiviti yang dikatakan berlangsung di masjid itu pada 19 September lalu.
Pengerusinya, Mohd Azri Abdul Aziz, berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan bertulis atau lisan daripada agensi tersebut seperti dinyatakan dalam kenyataan rasmi Ketua Pengarah Maritim Malaysia pada Rabu.
“Pihak masjid telah meneliti kenyataan tersebut dan ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang permohonan atau permakluman untuk apa-apa aktiviti seperti dinyatakan, sama ada secara lisan ataupun bertulis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak masjid turut mendapatkan pengesahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dimaklumkan bahawa tiada sebarang aktiviti dilaporkan atau dimaklumkan kepada polis pada hari kejadian.
“Pihak masjid mengambil keputusan untuk membuat laporan polis berhubung perkara ini.
Selepas laporan dibuat, kami menerima panggilan daripada wakil Maritim Malaysia yang memohon maaf secara lisan,” katanya.
Beliau melahirkan kekecewaan terhadap tindakan yang dianggap tidak profesional oleh pihak Maritim Malaysia dalam menangani isu berkenaan.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ketika berbahas di Dewan Rakyat mempersoalkan bentuk latihan dijalankan Maritim Malaysia di masjid berkenaan yang disifatkan seolah-olah mengulang kembali insiden Memali 1985.
Takiyuddin mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki kawasan masjid tanpa kebenaran, sekali gus menimbulkan rasa takut dan keresahan dalam kalangan jemaah.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, menafikan dakwaan itu dan menjelaskan aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada latihan taktikal Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team).
Beliau menegaskan, masjid tersebut hanya dijadikan lokasi untuk berehat dan beriktikaf selepas solat Asar, sebelum para pelatih meneruskan tugasan seterusnya, serta memaklumkan bahawa tiada gangguan terhadap jemaah atau aktiviti keagamaan berlaku ketika itu.


