Putin tidak hadir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, diwakili Timbalan Perdana Menteri Rusia
Berita Berita
PUTRAJAYA 23 Okt. – Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur hujung bulan ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri Rusia, Alexander Novak akan mewakili Putin pada persidangan berkenaan.
“Presiden Putin telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan hadir.
Namun beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk hadir pada tahun berikutnya.
Buat masa ini, beliau akan diwakili oleh timbalannya,” kata Anwar pada sidang media bersama editor tempatan dan antarabangsa, semalam.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi berhubung kehadiran Putin, selepas sebelum ini beliau dilaporkan “sedang menimbangkan secara serius” untuk menyertai persidangan serantau tersebut.
Sidang kemuncak selama tiga hari itu akan diadakan dari 26 hingga 28 Oktober, dan dijangka menjadi perhimpunan terbesar pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bersama pemimpin negara anggota ASEAN.
Anwar turut mengesahkan bahawa Pemangku Presiden Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing tidak akan menghadiri sidang tersebut, selaras dengan pendirian tegas ASEAN terhadap Konsensus Lima Perkara berhubung krisis politik di negara itu.
Dalam pada itu, Anwar memuji inisiatif Jepun yang terus memainkan peranan aktif dalam usaha pembinaan semula Gaza selepas gencatan senjata, melalui kerangka Kerjasama Negara-Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
“Saya berharap dapat berbincang lanjut dengan Perdana Menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, mengenai perkara ini kerana ia merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Shigeru Ishiba.
Kami bersetuju untuk bersama-sama menyokong usaha ini,” katanya.
Anwar berkata, komitmen Jepun terhadap bantuan kemanusiaan dan pembinaan semula Gaza wajar dihargai kerana menunjukkan keprihatinan mendalam terhadap keamanan sejagat.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa isu penipuan dalam talian rentas sempadan (online scam) turut menjadi agenda utama sidang kemuncak kali ini, dengan tumpuan kepada tindakan kolektif ASEAN bagi menangani ancaman jenayah transnasional tersebut.
“Isu ini telah dibincangkan dalam mesyuarat dua hala dan serantau sebelum ini, dan akan dibangkitkan semula kerana ia memberi kesan terhadap kestabilan ekonomi, kesihatan dan kesejahteraan rantau ini,” katanya.
Anwar dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin dunia sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN, bagi membincangkan isu perdagangan, keselamatan serantau dan kerjasama kemanusiaan.


