Lori bawa cecair kimia menghakis terbakar, anggota bomba alami kerosakan peralatan
Berita Berita
KUCHING 23 Okt.– Pasukan bomba berdepan detik mencemaskan apabila sebuah lori membawa muatan cecair kimia tidak dikenal pasti terbakar berhampiran Vista Perdana di Jalan Miri Bypass, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima pada jam 11.16 malam.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bersama BBP Miri Sentral segera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Ketika operasi pemadaman, pasukan bomba mendapati cecair kimia yang bocor bersifat menghakis sehingga menyebabkan kerosakan pada kasut beberapa anggota yang bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Ketua Operasi mengarahkan semua anggota memakai alat pelindung diri (PPE) lengkap bagi mengelakkan pendedahan langsung terhadap bahan berbahaya tersebut.
Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan dari jarak selamat menggunakan pancutan air dan buih, manakala kawasan kejadian segera dikawal bagi mengelakkan sebarang pencerobohan.
“Langkah itu diambil bagi menstabilkan keadaan dan mencegah insiden daripada menjadi lebih serius,” jelasnya.
Bagaimanapun, operasi berdepan cabaran apabila pemandu lori gagal memberi maklumat tepat mengenai jenis bahan kimia yang dibawa kerana dokumen pengangkutan (manifest kimia) turut musnah dalam kebakaran.
“Disebabkan ketidakpastian jenis bahan dan sifatnya yang menghakis, PGO menghubungi pegawai pasukan Hazmat, Mohamad Maramit, untuk mendapatkan khidmat nasihat serta panduan pengendalian bahan berbahaya,” katanya.
Bertindak atas nasihat itu, pasukan Hazmat dari BBP Bintulu dengan kekuatan 10 anggota dan satu unit alat penyahcemaran (DECON) segera digerakkan ke lokasi, yang jaraknya lebih 200 kilometer.
Pasukan tersebut tiba di lokasi sekitar 6.10 pagi dan menjalankan ujian kepekatan cecair menggunakan kertas litmus serta meter pH, yang menunjukkan bacaan pH 2, mengesahkan bahan tersebut bersifat asid kuat dan sangat menghakis.
“Pasukan Hazmat kemudian memulakan proses pencairan dan peneutralan kawasan terjejas menggunakan pancutan air bagi mengurangkan risiko terhadap persekitaran,” katanya.


