TEPAT.BENAR.BEBAS

Jawatankuasa khas ditubuh kaji wajib prasekolah usia lima tahun

image

Berita Berita

Kongsi

PUTRAJAYA 23 Okt. – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penstrukturan Persekolahan bagi menjalankan kajian menyeluruh terhadap cadangan mewajibkan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun.

Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata jawatankuasa itu turut akan meneliti cadangan kemasukan ke Tahun Satu pada umur enam tahun, selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035.

“Kajian ini akan melibatkan penandaarasan, keperluan dasar dan struktur persekolahan, implikasi terhadap kurikulum, perjawatan, infrastruktur serta anggaran kos pelaksanaan.
Segala cadangan ini akan diperhalusi di peringkat kerajaan dan pelaksanaannya tertakluk kepada kemampuan kewangan serta keputusan Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen sebagai menjawab soalan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH–Bandar Tun Razak) berhubung langkah kerajaan dalam pelaksanaan Reformasi Pendidikan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Fadhlina turut memaklumkan bahawa KPM telah menubuhkan Pasukan Petugas Penyelarasan Prasekolah bagi memastikan sistem pendidikan awal negara diselaraskan dengan agenda reformasi pendidikan nasional.

“Pasukan petugas ini berperanan menyelaras isu berkaitan kurikulum, kualiti guru, bantuan dan infrastruktur prasekolah, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha reformasi pendidikan yang sedang dilaksanakan,” katanya.

+ - reset