TEPAT.BENAR.BEBAS

JAS siasat dakwaan pencemaran Sungai Perak berwarna kebiruan

image

Berita Berita

Kongsi

GERIK 23 Okt – Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pencemaran di Sungai Perak berhampiran Jambatan Kampung Sungai Papan, yang airnya dilaporkan berwarna kebiruan disyaki akibat larutan logam timah.

Pengarah JAS Perak, Datuk Ts Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh, berkata sampel air sungai telah dihantar ke makmal Jabatan Kimia Malaysia semalam bagi tujuan analisis.

“Hasil analisis dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu bergantung kepada Jabatan Kimia Malaysia.
Perubahan warna air sungai adalah indikasi kemungkinan berlaku kemasukan bahan pencemar, namun jenis dan tahap pencemaran hanya akan diketahui selepas laporan kimia diterima,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar Sungai Perak di kawasan berkenaan berwarna kebiruan, dipercayai berpunca daripada aktiviti perlombongan di bahagian hulu sungai.

Dakwa pengguna media sosial, walaupun air kelihatan menarik, ia didakwa mengandungi bahan toksik yang berbahaya kepada hidupan akuatik dan manusia, serta boleh menyebabkan komplikasi kesihatan seperti kerosakan organ, gangguan saraf dan kanser.

Turut dikongsikan dalam talian ialah video menunjukkan ikan mati timbul di permukaan sungai di lokasi sama.

Mengulas lanjut, Mohammad Ezanni berkata, JAS Perak kini sedang mengenal pasti punca sebenar pencemaran dan tindakan penguatkuasaan hanya akan diambil selepas siasatan selesai.

+ - reset