Kapal tinjau Petronas tidak ceroboh perairan Indonesia – Anwar
Berita Berita
KUALA LUMPUR 23 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kapal tinjau milik Petronas yang dikepung oleh ratusan nelayan Indonesia berhampiran Ketapang, Pulau Madura baru-baru ini tidak menceroboh perairan negara jiran, sebaliknya beroperasi dalam kawasan milik Malaysia.
“Petronas hanya melakukan aktiviti cari gali di kawasan yang sememangnya milik kita dan tidak menceroboh kawasan lain,” katanya ketika menjawab soalan di sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mengulas soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengenai pendirian kerajaan terhadap isu persempadanan Malaysia-Indonesia.
Anwar menjelaskan bahawa insiden berkenaan telah diselesaikan secara baik tanpa perlu campur tangan langsung daripada Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Gangguan itu tidak sampai ke tahap kita perlu hubungi Presiden Indonesia. Kita selesaikan secara sahabat.
Ada kes-kes pencerobohan nelayan antara kedua-dua negara, dan kita sentiasa cuba selesaikan secara baik melalui rundingan,” katanya.
Pada 17 Oktober lalu, media Indonesia melaporkan insiden tegang di perairan Ketapang, Sampang, Madura, apabila ratusan nelayan tempatan mengepung kapal tinjau Petronas, Prospero 9, bagi membantah aktiviti tinjauan di kawasan Sumur Barokah, yang didakwa mengganggu laluan penangkapan ikan tradisional.
Video tular di media sosial menunjukkan sekumpulan bot nelayan mengelilingi kapal Petronas sambil menjerit meminta operasi dihentikan dan kapal meninggalkan kawasan itu.
Menurut laporan tempatan, kapal Petronas dikatakan telah berada di kawasan berkenaan selama tiga hari sebelum konfrontasi berlaku.


