'Jangan cemar imej negara' - KPN nasihat NGO batal atau tukar lokasi protes kehadiran Trump
Berita Berita
KUALA LUMPUR, 23 Okt - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penganjur supaya membatalkan hasrat mengadakan perhimpunan membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di ibu negara Ahad ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata langkah itu perlu bagi mengelakkan sebarang situasi yang boleh mencemarkan imej negara serta menjejaskan persepsi delegasi asing dan ketua-ketua negara luar yang hadir ke sidang berkenaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
“Kita berusaha melakukan libat urus berterusan bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit bagi memastikan tidak melangsungkan perhimpunan kerana ia membabitkan imej negara.
“Pada masa sama, kita juga memberi pilihan kepada mereka untuk mengadakan perhimpunan di tempat yang lebih sesuai, contohnya di Padang Merbok,” katanya pada sidang media selepas Raptai Delegasi Sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di sini hari ini.
Mohd Khalid memaklumkan, proses perbincangan dengan NGO serta pertubuhan yang berkaitan masih dijalankan secara berterusan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.
Katanya, polis sentiasa mengutamakan pendekatan diplomasi dan nasihat bagi mengekalkan keamanan serta memastikan kelancaran persiapan acara antarabangsa itu.
“Kita menghormati hak untuk berhimpun, namun ia mesti dilaksanakan dengan tertib, berhemah dan tidak menjejaskan keselamatan awam serta nama baik negara,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan beberapa NGO dan parti politik merancang mengadakan perhimpunan bagi membantah kehadiran Trump di Kuala Lumpur pada 26 Oktober sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.


