TEPAT.BENAR.BEBAS

'Saya pun pernah jadi guru' - Anwar minta Fadhlina kaji kembalikan hukuman rotan dengan kawalan ketat

image

Berita Berita

Kongsi

 

KUALA LUMPUR, 23 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpandangan bahawa cadangan untuk membenarkan semula hukuman rotan di sekolah wajar dipertimbangkan, namun pelaksanaannya mesti disertai syarat ketat dan kawalan rapi bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Beliau berkata, isu tersebut perlu diperhalusi secara berhati-hati kerana meskipun terdapat permintaan agar hukuman rotan dikembalikan, pelaksanaannya tidak boleh dilakukan secara terbuka dan mesti berhemah.

“Ada yang menyuarakan supaya rotan dikembalikan, tetapi dengan syarat-syarat ketat — bukan secara terbuka. Rotan mungkin hanya di tangan, bukan diberi kelonggaran sepenuhnya.

“Saya pernah menjadi guru dan saya ingat puluhan anak-anak murid saya pernah dirotan tetapi hanya di tangan dan tentunya tidak sehingga dianggap penderaan,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH–Jelutong) yang mencadangkan supaya guru diberi budi bicara untuk menggunakan rotan bagi mendisiplinkan pelajar.

Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan hukuman rotan perlu menimbang pelbagai pandangan, termasuk daripada pertubuhan hak asasi manusia yang melihat tindakan itu sebagai penderaan terhadap kanak-kanak.

“Kita juga perlu ambil kira pandangan daripada golongan hak asasi yang menganggap ia termasuk dalam kategori penderaan kanak-kanak. Jadi saya faham kontroversinya,” katanya.

Beliau menambah, ramai pendidik dan ibu bapa turut percaya hukuman rotan masih relevan, namun mesti dijalankan dengan peraturan ketat dan hanya oleh guru tertentu di tempat khas.

“Saya percaya ramai pendidik dan ibu bapa merasakan ada keperluan tetapi dengan syarat-syarat yang ketat. Ditugaskan kepada guru tertentu, dilakukan di bilik khas seperti bilik disiplin dan dengan jumlah maksimum rotan yang ditetapkan,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan pandangannya itu bersifat peribadi dan bukan dasar rasmi kerajaan.

“Saya tidak fikir ibu bapa perlu terlalu bimbang kerana kenakalan anak-anak itu perkara biasa. Bila mereka melanggar peraturan secara berlebihan, tentunya harus ada hukuman. Tetapi ini sekadar pandangan peribadi, bukan dasar kerajaan,” jelasnya.

Anwar turut menegaskan bahawa sebarang keputusan berhubung pelaksanaan semula hukuman rotan perlu melalui proses libat urus menyeluruh yang akan dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya percaya ia harus dipertimbangkan, diperhalusi dan melalui libat urus menyeluruh yang akan dikendalikan oleh Menteri Pendidikan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan. Saya hanya memberikan pandangan peribadi kerana saya tidak menganggap ia dalam kategori penderaan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui terdapat perbezaan pandangan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menolak sepenuhnya sebarang bentuk hukuman fizikal di sekolah.

“Rakan-rakan di Suhakam memberikan pandangan yang agak keras dan menolak sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai penderaan,” katanya.

 

 

 

+ - reset