KPT serah sepenuhnya siasatan kematian pelajar UM kepada polis – Zambry
Berita Berita
PUTRAJAYA 23 Okt. – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan berhubung kes kematian seorang penuntut Universiti Malaya (UM) yang terjatuh dari bangunan kolej kediaman pada 17 Oktober lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, siasatan berkenaan masih dijalankan oleh pihak polis dan berada di luar bidang kuasa kementerian.
“Kami serahkan kepada pihak polis untuk menyediakan laporan siasatan kejadian itu. Buat masa ini, biarlah pihak berkuasa menyelesaikannya terlebih dahulu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada 3.15 petang, 17 Oktober, seorang pelajar lelaki berusia 22 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai terjatuh dari kolej kediaman UM.
Pihak universiti dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
UM turut menegaskan bahawa punca kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya memberi kerjasama penuh kepada PDRM, selain meminta orang ramai menghormati privasi keluarga mangsa serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan insiden itu.


