Madrasah dikaitkan dengan ‘Abuya’ diarah tutup sementara – MAIK
Berita Berita
TUMPAT 23 Okt. – Sebuah sekolah pondok, Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah, yang dikaitkan dengan seorang mudir dikenali sebagai ‘Abuya’, diarah tutup sementara selepas didapati beroperasi tanpa pendaftaran sah di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Mohd Anis Hussein, berkata tindakan itu diambil mengikut peruntukan undang-undang selepas pemeriksaan mendapati madrasah berkenaan tidak pernah menghantar permohonan pendaftaran kepada MAIK.
“Notis tutup sementara berkuat kuasa hari ini sehingga proses pendaftaran dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.
Tindakan ini dibuat di bawah Seksyen 133 serta 135 Kaedah 37, Kaedah-Kaedah Pendaftaran dan Pengawalan Sekolah dan Institusi Pengajian Agama 1987,” katanya pada sidang media, Khamis.
Operasi pemeriksaan dan penyerahan notis penutupan itu dijalankan MAIK bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dengan penglibatan 20 anggota, lima pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut Mohd Anis, selain penutupan, notis kesalahan mengajar tanpa tauliah dan mengelola guru agama tanpa kebenaran turut dikeluarkan terhadap mudir terbabit di bawah Seksyen 117 serta Seksyen 118 Enakmen MAIK Bilangan 4 Tahun 1994.
“Notis itu memerlukan Abuya hadir ke Jaheaik dalam tempoh dua minggu bagi memberi keterangan lanjut.
Langkah ini untuk memastikan semua institusi pendidikan agama di negeri ini mematuhi peraturan dan memiliki tauliah sah sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.
Hasil tinjauan di lokasi mendapati madrasah berkenaan sudah dikosongkan, termasuk kontena dua tingkat yang sebelum ini dijadikan asrama bagi lebih 30 pelajar lelaki. Pintu besi asrama setinggi lebih tiga meter juga dilihat berkunci rapat.
Terdahulu, Mohamad Aswadi Yah, 46, atau ‘Abuya’, yang juga mudir madrasah berkenaan, dihadapkan ke mahkamah atas 18 pertuduhan amang seksual fizikal terhadap empat pelajar lelaki serta satu pertuduhan memiliki gambar lucah dalam telefon bimbitnya.
Antara siri pertuduhan itu termasuk:
-
7 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Pasir Mas (Jun hingga Ogos 2024),
-
2 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu (melibatkan pelajar tahfiz berusia 14 tahun),
-
6 pertuduhan tambahan di Pasir Mas (Mac hingga Jun 2024), dan
-
3 pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Perak (melibatkan pelajar 15 tahun, pada 28 Ogos 2024).
Kesemua pertuduhan itu kini dalam proses perbicaraan di mahkamah.


