TEPAT.BENAR.BEBAS

Sanusi mohon maaf, tarik balik kenyataan fitnah terhadap Anwar

image

Berita Berita

Kongsi

 

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dibuat semasa program Jelajah PN Best Tambun pada 13 November 2022.

Dalam kenyataan bersama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu secara terbuka, suci hati dan tanpa syarat menarik balik kenyataan tersebut serta berikrar untuk tidak mengulangi mana-mana perkataan yang menjadi asas tindakan guaman berkenaan.

Langkah itu menandakan penyelesaian muktamad pertikaian peribadi antara kedua-dua pemimpin selepas kedua-duanya bersetuju bahawa terdapat isu-isu lebih besar dan penting yang perlu diberi keutamaan demi kepentingan negara.

“Bagi mengelakkan kekeliruan daripada prosiding tersebut, penyelesaian berkenaan juga dibuat sebagai usaha kedua-dua pihak untuk menjernihkan keadaan serta mengekalkan hubungan yang baik dan berhemah,” menurut kenyataan bersama itu.

Keputusan berkenaan turut mengambil kira beban kos perundangan dan implikasi awam sekiranya kes diteruskan.

Sementara itu, Anwar, 78, menyambut baik langkah Sanusi dan bersetuju menarik semula saman fitnah terhadap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu tanpa perintah mengenai kos serta dengan kebebasan untuk memfailkan semula jika perlu.

Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohamad Johan Leeatas peranan beliau sebagai mediator yang membantu mencapai penyelesaian berkenaan.

“Tanpa usaha dan budi bicara pihak mahkamah, penyelesaian ini tidak mungkin dapat dicapai,” ujar kenyataan tersebut.

Anwar dan Sanusi turut berharap penyelesaian ini diterima dengan baik oleh semua pihak serta tidak dijadikan bahan politik yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negara.

Terdahulu, pada 16 November 2022, Anwar menuntut permohonan maaf daripada Sanusi berhubung ucapan dalam program kempen itu yang didakwa berunsur fitnah. Beliau memberi tempoh tiga hari untuk Sanusi menarik balik kenyataan tersebut atau berdepan tuntutan ganti rugi RM10 juta.

Bagaimanapun, Sanusi ketika itu menegaskan tidak akan memohon maaf dan bersedia untuk disaman.

+ - reset