Ibu dan anak maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam
Berita Berita
KLUANG 26 Okt. – Seorang wanita dan anak lelakinya maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 65, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa berusia 51 tahun memandu kereta Perodua Kancil bersama dua anak lelakinya berusia 15 dan sembilan tahun.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Simpang Renggam ke Kampung Bukit Kenangan.
“Ketika tiba di lokasi, kereta mangsa berhenti untuk membelok ke simpang kanan sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah van kilang jenis Mazda yang dipandu lelaki tempatan berusia 53 tahun.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Hilux yang tidak sempat mengelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, van kilang itu turut melanggar kenderaan 4×4 tersebut selepas pelanggaran pertama.
Akibat kejadian itu, wanita berkenaan dan anaknya berusia 15 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala anak bongsu berusia sembilan tahun cedera parah di kepala dan kaki kiri.
Pemandu van mengalami kecederaan di muka, dada dan kaki kanan, manakala pemandu Hilux berusia 62 tahun cedera ringan di badan dan tangan kanan.
Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk rawatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati serta bertimbang rasa ketika memandu bagi mengelakkan kejadian seumpama itu.


