Pemandu treler diculik tiga lelaki, ditinggalkan di tepi jalan selepas dibawa sejauh 34 kilometer
Berita Berita
RAUB 26 Okt. – Seorang pemandu treler berusia 37 tahun berdepan detik cemas apabila dilarikan tiga lelaki sejauh 34 kilometer dari Bentong ke Raub sebelum ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian sekitar jam 11.30 malam itu disedari seorang lelaki yang menemui mangsa meminta tolong di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub.
“Pasukan peronda polis segera tiba di lokasi dan membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Siasatan awal mendapati, mangsa yang bekerja sebagai pemandu treler membawa muatan besi dari Balakong, Selangor ke Gua Musang, Kelantan singgah berehat di sebuah warung makan di sempadan Bentong-Raub untuk mandi dan menukar pakaian sebelum diserang.
“Ketika keluar dari tandas, mangsa didatangi tiga lelaki yang mengikat tangannya menggunakan cable tie sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kereta.
“Selepas kira-kira sejam dalam kenderaan, mangsa diturunkan di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan dengan mata ditutup menggunakan pita pelekat hitam,” jelas beliau.
Mohd Shahril berkata, siasatan mendapati motif kejadian adalah untuk melarikan treler bersama muatan besi yang dibawa mangsa.
“Mangsa tidak mengalami kecederaan dan kini berada dalam keadaan stabil. Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika berhenti di kawasan terpencil pada waktu malam, serta menyalurkan sebarang maklumat mencurigakan ke Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222.


