TEPAT.BENAR.BEBAS

Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN cerminkan semangat bersatu dan nilai Malaysia Madani

image

Berita Berita

Kongsi

PETALING JAYA 26 Okt – Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN mencerminkan semangat perpaduan serantau serta nilai Malaysia Madani yang menekankan prinsip keadilan dan ihsan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memimpin dengan keyakinan serta berpegang pada prinsip kukuh bagi memastikan ASEAN kekal sebagai tunjang kestabilan serantau, peneraju utama diplomasi global dan suara berpengaruh bagi Negara-Negara Selatan (Global South).

“Alhamdulillah, pagi ini saya menyambut ketibaan pimpinan negara anggota ASEAN termasuk Timor Leste serta para Tetamu Pengerusi iaitu Brazil, Afrika Selatan, Kanada, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Eropah,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar berkata, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula hari ini menghimpunkan ribuan delegasi dari seluruh rantau bagi memperkukuh kerjasama dan membina masa depan ASEAN yang lebih inklusif, sejahtera serta berdaya tahan.

Menurut beliau, Malaysia akan terus memimpin dengan tekad memperkukuh perpaduan serantau, memperkasa rakyat serta membina Asia Tenggara yang aman, makmur dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung mulai hari ini hingga 28 Oktober menjadi tumpuan diplomatik dunia apabila menghimpunkan pelbagai pemimpin antarabangsa.

+ - reset