Eko Rimba Mossy Forest ditutup sementara akibat tanah runtuh
Berita Berita
KUANTAN 27 Okt - Taman Eko Rimba Mossy Forest di Cameron Highlands ditutup sementara susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku semalam.
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin, berkata kejadian itu menyebabkan laluan pejalan kaki di kawasan berkenaan tidak selamat digunakan.
Menurutnya, hasil tinjauan awal mendapati kira-kira 100 meter kawasan cerun runtuh di laluan pejalan kaki akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
“Pejabat Hutan Cameron Highlands mengambil keputusan menutup sementara laluan pejalan kaki di Taman Eko Rimba Mossy Forest bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Kita turut membatalkan semua aktiviti di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Gangan serta merta sehingga tarikh akan dimaklumkan semula.
“Tanah runtuh menyebabkan laluan pejalan kaki kini seakan tergantung, usaha membaiki kerosakan berkenaan mengambil masa yang panjang berikutan hujan yang berlaku tidak menentu menjelang Monsun Timur Laut (MTL) bulan depan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah menempatkan kakitangan untuk mengawal kawasan terbabit bagi memastikan tiada individu menceroboh atau melalui laluan yang berisiko.
Katanya lagi, risiko tanah runtuh susulan tidak dapat dielakkan sekiranya hujan berterusan di daerah itu.
Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) turut memaklumkan bahawa beberapa taman eko rimba dan taman negeri lain di Raub, Rompin, Bentong, Lipis dan Kuantan juga ditutup sementara waktu.
Orang ramai yang berhasrat mengunjungi kawasan rekreasi tersebut dinasihatkan menghubungi pejabat hutan daerah masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status pembukaan taman berkenaan.


