Peserta himpunan motosikal maut dalam kemalangan di LPT2
Berita Berita
DUNGUN 27 Okt – Seorang peserta himpunan bermotosikal di Cherating, Pahang maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 348.4 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran Plaza Tol Kuala Dungun, hari ini.
Mangsa, Muhammad Zakiuddin Mohd. Zul, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dalam insiden yang berlaku sekitar jam 1 tengah hari.
Difahamkan, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Rusila, Marang selepas menyertai program himpunan bermotosikal di Cherating.
Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda C70 yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh di atas lebuh raya.
Mangsa dilaporkan terseret bersama motosikalnya sejauh beberapa meter sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.


