TEPAT.BENAR.BEBAS

Kekal rakan penting Malaysia, Anwar sasar muktamad Perjanjian Perdagangan ASEAN-India tahun ini

image

Berita Berita

Kongsi

 

KUALA LUMPUR 27 Okt – Malaysia selaku Pengerusi ASEAN berhasrat memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) menjelang tahun ini bagi memperkukuh hubungan ekonomi dan memacu kemakmuran bersama rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata India kekal sebagai rakan penting bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada seluruh negara anggota ASEAN.

Menurut beliau, hubungan ASEAN-India kini menunjukkan kemajuan yang ketara dalam pelbagai bidang kerjasama.

“Dengan kemajuan pesat India dalam pelbagai bidang ekonomi, saya yakin manfaatnya akan dirasai oleh kedua-dua pihak iaitu India dan ASEAN.

“Ketika ini kita mempunyai Pelan Tindakan ASEAN-India 2026–2030. Kita juga berharap untuk memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) menjelang tahun ini,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-India di sini, hari ini.

Sidang kemuncak itu turut disertai Perdana Menteri India, Narendra Modi, secara dalam talian berikutan sambutan perayaan Deepavali yang masih berlangsung di negara tersebut.

Sementara itu, Modi menegaskan bahawa India akan terus menyokong kepusatan ASEAN yang menjadi asas utama kepada Dasar Bertindak Ke Timur negara itu.

“Meskipun dunia kini dalam zaman penuh ketidaktentuan, perkongsian strategik menyeluruh ASEAN-India terus mencatat kemajuan yang konsisten.

“Kerjasama kukuh ini kini muncul sebagai batu asas kepada kestabilan dan pembangunan global,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa dalam landskap global yang semakin kompleks, India komited untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam pelbagai bidang termasuk pembabitan digital, keselamatan makanan, dan rantaian bekalan berdaya tahan.

“Kerjasama kita berkembang pesat dalam bidang seperti bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR), keselamatan maritim, dan ekonomi biru.

“Oleh itu, kami dengan sukacitanya mengisytiharkan tahun 2026 sebagai Tahun Kerjasama Maritim ASEAN-India,” katanya.

Modi turut menekankan komitmen India untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN dalam bidang pendidikan, pelancongan, sains dan teknologi, kesihatan, tenaga hijau serta keselamatan siber.

“Kami akan terus berusaha bersama-sama untuk memupuk warisan budaya bersama dan mengukuhkan hubungan antara rakyat dengan rakyat.

“Abad ke-21 ialah abad kita. Ia adalah abad India dan ASEAN. Saya yakin bahawa Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan matlamat India untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2047 akan membentuk masa depan yang cerah untuk seluruh umat manusia,” katanya.

Modi menegaskan India komited untuk terus bekerjasama dengan ASEAN dalam mencapai matlamat serantau yang inklusif, aman dan makmur.

+ - reset