Sidang Kemuncak ASEAN tumpu pengukuhan ekonomi, transformasi digital dan peralihan tenaga bersih
Berita Berita
KUALA LUMPUR 27 Okt – Sidang Kemuncak ASEAN hari ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi serantau, mempercepat transformasi digital, memacu peralihan tenaga bersih serta meningkatkan ketahanan rantaian bekalan.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perjalanan diplomasi tersebut diteruskan menerusi lima sidang utama iaitu Sidang Kemuncak ASEAN–Republik Korea ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three ke-28, Sidang Kemuncak Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) ke-5, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 dan Sidang Kemuncak ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-15.
“ASEAN bukan sekadar pusat pertumbuhan, tetapi juga pemacu kestabilan dan keseimbangan strategik di rantau Indo-Pasifik,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan PMO, hari ini.
Menurut beliau, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka mengadakan beberapa pertemuan dua hala dengan rakan pimpinan antarabangsa sebelum menghadiri Majlis Makan Malam Gala ASEAN bersama para pemimpin dan rakan dialog.
“Insya-Allah, dengan momentum yang dibina, Malaysia akan terus menggalas amanah kepimpinan serantau dengan tekad dan keyakinan, memperkukuh perpaduan ASEAN serta memacu kerjasama yang membawa manfaat kepada seluruh rantau,” katanya.
Tunku Nashrul turut memaklumkan bahawa hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berjalan lancar dan mencatat detik bersejarah apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11, melengkapkan keluarga Asia Tenggara yang bersatu dan berdaulat.
“Semalam, kita telah mendengar ucapan dasar daripada Perdana Menteri semasa Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di mana beliau menegaskan komitmen Malaysia untuk memastikan ASEAN kekal bersatu, relevan dan berpaksikan rakyat.
“Penyertaan rasmi Timor-Leste bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi hasil keteguhan Malaysia menyokong penyertaan negara tersebut melalui latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti,” jelasnya.
Selain itu, katanya, satu diplomasi keamanan turut mencatat sejarah apabila Perjanjian Perdamaian Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja berjaya dimeterai dengan disaksikan oleh Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Perjanjian ini menjadi titik tolak kepada berakhirnya pertikaian antara kedua-dua negara dan kejayaan rundingan damai yang dimulakan oleh Perdana Menteri pada Julai lalu. Ia menandakan kesediaan kedua-dua pihak menghentikan peperangan, membebaskan tawanan serta membenarkan pemerhati ASEAN termasuk Malaysia menilai pelaksanaan damai di lapangan,” katanya.
Semalam, Anwar turut mempengerusikan lima sidang utama termasuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat ke-13, Sidang Kemuncak ASEAN–Jepun ke-28, Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-3 dan Sidang Kemuncak ASEAN–India ke-22 yang berlangsung secara maya.
Menurut Tunku Nashrul, kesemua sidang itu berjaya menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik ASEAN dengan rakan-rakan dialog, memperluas sinergi dalam bidang perdagangan, digital, tenaga dan pembangunan mampan, sekali gus mengangkat suara ASEAN ke tahap lebih berpengaruh di pentas global.


