TEPAT.BENAR.BEBAS

Rakyat Kemboja zahir penghargaan kepada Anwar atas kejayaan Perjanjian Damai KL

image

Berita Berita

Kongsi

KUALA LUMPUR 27 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima ribuan ucapan penghargaan daripada rakyat Kemboja susulan kejayaan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Accord) antara Thailand dan Kemboja, hari ini.

Ucapan tersebut membanjiri ruangan komen di laman rasmi Facebook Anwar dan Pejabat Perdana Menteri, dengan rakyat Kemboja menyampaikan terima kasih atas peranan penting Malaysia sebagai pemudah cara dalam rundingan yang membawa kepada perjanjian bersejarah itu — satu langkah besar ke arah memulihkan kestabilan di sempadan Thailand–Kemboja.

“Terima kasih atas usaha gigih anda membantu kami,” tulis pengguna Facebook, Keo Dalis, manakala seorang lagi pengguna, Hei Nail, menulis: “Terima kasih atas usaha untuk mewujudkan perdamaian.”

Seorang lagi pengguna, Teav Kim Leamg, pula menyatakan: “Saya rakyat Kemboja. Terima kasih atas kebaikan anda yang sentiasa membantu dan menyokong Kemboja mencapai keamanan.”

Ramai pengguna media sosial menyifatkan perjanjian damai itu sebagai lembaran baharu bagi keharmonian serantau, dengan hantaran tersebut menerima lebih 4,900 komen termasuk daripada rakyat Malaysia yang memuji kepimpinan Anwar dalam memupuk keamanan dan diplomasi ASEAN.

“Ramai kawan saya dari Kemboja dan Thai suka bila saya kongsi tentang ini hari ini … tahniah PMX,” tulis seorang pengguna, sementara yang lain mendoakan agar perjanjian itu membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu menandakan langkah penting dalam usaha membina semula kepercayaan dua hala antara Thailand dan Kemboja selepas pertelingkahan berpanjangan.

Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, memainkan peranan penting sebagai perantara dalam memudah cara rundingan damai berkenaan.

Dalam kenyataannya, Anwar menyifatkan pemeteraian itu sebagai “detik bersejarah” bagi diplomasi ASEAN, serta kesinambungan kepada gencatan senjata yang dipersetujui di Putrajaya pada 28 Julai lalu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan serantau dan antarabangsa, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang membantu meyakinkan kedua-dua negara untuk mencapai perdamaian.

Anwar turut menegaskan bahawa kejayaan itu perlu dijadikan asas untuk memperluas agenda keamanan ke wilayah lain yang dilanda konflik, khususnya Gaza, agar keadilan dan kemanusiaan terus menjadi teras kepada keamanan global.

“Perjanjian damai ini membuktikan bahawa suara ASEAN semakin berpengaruh sebagai penghubung keamanan — menunjukkan bahawa kesederhanaan dan dialog mampu menyelesaikan pertikaian,” katanya.

+ - reset