Guru tadika rugi RM100,000 selepas nombor WhatsApp suami digodam scammer
Berita Berita
JOHOR BAHRU 27 Okt – Seorang guru tadika menanggung kerugian sebanyak RM100,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menggodam nombor WhatsApp milik suaminya, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata mangsa berusia 52 tahun itu menjadi sasaran scammer ketika suaminya, seorang pengurus syarikat swasta, berada di China atas urusan kerja selama seminggu.
“Ketika kejadian, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada nombor yang disangka milik suaminya.
“Mangsa diminta meminjamkan sejumlah wang bagi membantu ‘suami’ kononnya dalam urusan perniagaan, dengan alasan akaun bank suaminya tidak dapat digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian membuat pembayaran ke akaun pihak ketiga seperti yang diarahkan, pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, selepas transaksi dilakukan, mangsa menghubungi suaminya untuk bertanyakan mengenai bayaran balik wang tersebut dan ketika itu baru menyedari bahawa nombor WhatsApp suaminya telah digodam.
“Mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah ditipu,” kata Raub.
Beliau memaklumkan, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta mengesan pihak yang terlibat.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai mesej atau permintaan wang walaupun daripada nombor yang dikenali, tanpa pengesahan lanjut.
“Orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan dengan pihak polis sebelum melakukan sebarang transaksi wang bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Sebarang keraguan boleh dirujuk melalui portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesahkan nombor akaun atau nombor telefon yang mencurigakan,” katanya.


