JPJ tawar diskaun 50 peratus saman mulai 1 November hingga 30 Disember
Berita Berita
SUNGAI PETANI 27 Okt – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan diskaun 50 peratus bagi semua saman tertunggak selama dua bulan, bermula 1 November hingga 30 Disember ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata tawaran itu merangkumi semua jenis saman, kecuali saman yang tidak boleh dikompaun dan perlu dibawa ke mahkamah.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya merebut peluang ini dengan membuat pembayaran di kaunter JPJ atau melalui saluran pembayaran dalam talian yang disediakan.
“Kita menggesa semua rakyat menjelaskan saman masing-masing dalam tempoh dua bulan ini kerana diskaun 50 peratus hanya ditawarkan dari 1 November hingga 30 Disember 2025.
Ia tidak termasuk saman AwAS (Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal JPJ(P)23 (115) yang dikeluarkan sejak tahun lalu,” katanya pada Sidang Media Khas Op Gempur, malam tadi.
Aedy Fadly turut menegaskan bahawa tiada lagi diskaun saman akan ditawarkan selepas 1 Januari 2026, sama ada bagi saman JPJ atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam pada itu, JPJ turut melaksanakan Op Perang Lebih Muatan bermula 14 Oktober hingga 31 Disember ini, bagi membanteras kegiatan kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan.
Setakat ini, 27,300 kenderaan diperiksa, dan 1,017 daripadanya dikesan membawa muatan melebihi had, manakala 1,696 pemandu serta pemilik dikenakan saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.
Sebanyak 96 lori turut disita, dengan fokus penguatkuasaan di kawasan ‘hotspot’ seperti kuari dan kilang besi.
“JPJ komited mempergiatkan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, memelihara infrastruktur awam dan meningkatkan pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan,” jelasnya.


