TEPAT.BENAR.BEBAS

AYOS 2025 catat kejayaan bersejarah, Malaysia pimpin agenda pembangunan kemahiran ASEAN

image

Berita Berita

Kongsi

 

KUALA LUMPUR 27 Okt – Tahun Kemahiran ASEAN (ASEAN Year of Skills - AYOS) 2025 yang diterajui Malaysia berakhir dengan kejayaan cemerlang selepas pelbagai inisiatif sepanjang tahun berjaya mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai peneraju global dalam pembangunan modal insan.

Majlis penutup AYOS 2025 disempurnakan melalui Majlis Makan Malam Gala “Colours of Success: A Celebration of Achievements” yang berlangsung pada 22 Oktober di Kuala Lumpur, menandakan kemuncak kepada perjalanan setahun penuh pencapaian dan kolaborasi strategik.

Acara berprestij itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Fadillah Yusof, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, serta Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F. Houngbo.

Dilancarkan secara rasmi pada 14 April lalu, AYOS 2025 merupakan inisiatif utama di bawah Pengerusi ASEAN 2025, diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan sokongan ILO dan Sekretariat ASEAN (ASEC).

Bertemakan “Bridging Talent, Building ASEAN”, AYOS 2025 mempamerkan komitmen kolektif negara-negara ASEAN dalam memperkukuh ekosistem kemahiran yang inklusif, mampan dan berdaya saing untuk masa depan.

Fadillah berkata, AYOS 2025 benar-benar mencerminkan keyakinan bahawa apabila kita melabur dalam kemahiran, kita bukan sahaja melabur untuk rakyat kita, tetapi juga untuk masa depan dan kemakmuran ASEAN.

Beliau menambah, AYOS 2025 berjaya menjadi antara inisiatif penting yang meletakkan pembangunan modal insan di tengah-tengah agenda serantau.

"Bersama-sama, kita telah memperkenalkan model inovatif, memacu kerjasama berasaskan industri dan membangunkan rangka kerja yang menggalakkan mobiliti bakat serta pengiktirafan bersama merentasi sempadan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah ILO, Encik Gilbert F. Houngbo, berkata, beliau amat berbesar hati dengan inisiatif baharu antara Kerajaan Malaysia, HRD Corp dan ILO yang akan memberi sumbangan besar dalam membangunkan tenaga kerja yang seiring dengan ekonomi hijau dan digital yang sedang berkembang.

Menteri Sumber Manusia, YB Steven Sim pula menegaskan, AYOS 2025 merupakan satu inisiatif bersejarah bagi ASEAN yang membuktikan komitmen kolektif kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja yang berkemahiran, inklusif dan bersedia menghadapi masa hadapan.

"Ketika kita meraikan kejayaannya, kita juga memperbaharui tekad untuk memperkasa bakat di seluruh rantau ini dan memastikan peluang untuk semua terus maju dan berkembang dalam dunia kerja yang sentiasa berubah," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan, berkata, perjalanan AYOS 2025 menunjukkan kekuatan kolaborasi dan visi bersama antara negara-negara ASEAN.

"HRD Corp berbangga memainkan peranan dalam membentuk pembangunan kemahiran yang bukan sahaja inovatif dan inklusif, tetapi juga berorientasikan ke arah mewujudkan tenaga kerja mampan dan berdaya saing untuk masa depan," katanya.

AYOS 2025 turut menggerakkan pelbagai lapisan masyarakat melalui tujuh platform utama bagi memperkukuh pembangunan kemahiran dan kolaborasi serantau, termasuk:

ASEAN Human Capital Development Investment Symposium (27-28 Mei) menghimpunkan pembuat dasar dan pelabur bagi membincangkan model pembiayaan inovatif;

Minggu Latihan Kebangsaan 2025 (14-21 Jun) – menarik lebih 3.7 juta penyertaan dengan 70,000 program latihan percuma;

ASEAN Training Market Conference (15 Julai) – menghubungkan industri dan penyedia latihan;

ASEAN TVET Conference (13-14 Ogos) – memacu reformasi pendidikan TVET serantau;

Persidangan & Pameran Modal Insan Kebangsaan (6-8 Oktober) – menghimpunkan 3,000 delegasi dan menjana lebih RM3 juta nilai pendaftaran baharu;

Global Skills Forum (22-23 Oktober) – membawa suara ASEAN ke peringkat global dalam isu pembangunan kemahiran;

Forum Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN (22 Oktober) – menghasilkan Joint Statement on Skills Development for the Future Workforce in ASEAN.

Majlis gala penutup turut disertai Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof, Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Abu Huraira Abu Yazid, Menteri-Menteri Tenaga Kerja ASEAN, duta serta wakil agensi kerajaan dan masyarakat sivil.

Walaupun AYOS 2025 telah berakhir, Malaysia dan negara anggota ASEAN komited untuk meneruskan usaha memperkukuh pembangunan kemahiran bagi melahirkan tenaga kerja berpengetahuan, mudah menyesuaikan diri dan berdaya tahan menghadapi cabaran global masa depan.

 

+ - reset