TEPAT.BENAR.BEBAS

Trump puji Malaysia negara hebat, bertenaga

image

Berita Berita

Kongsi

 

KUALA LUMPUR 27 Okt - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menzahirkan pujian terhadap Malaysia yang disifatkannya sebagai “negara yang hebat dan sangat bertenaga” selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini.

Dalam catatan di platform Truth Social pada Isnin, Trump yang berlepas ke Jepun selepas menghadiri persidangan itu berkata, Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian perdagangan dan nadir bumi penting dengan Malaysia, selaku penganjur sidang kemuncak berkenaan.

Selain itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana berpeluang menyaksikan pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja pada Ahad.

“TIADA PERANG! Berjuta-juta nyawa diselamatkan.
Suatu penghormatan untuk saya melakukan ini. Sekarang, ke Jepun!!!” tulis beliau dalam hantaran tersebut.

Trump tiba di Malaysia sekitar jam 10 pagi Ahad dan berlepas ke Jepun pada jam 10.06 pagi Isnin, menandakan tamatnya lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia serta penyertaan sulungnya dalam sidang kemuncak pemimpin ASEAN sejak kembali memegang jawatan Presiden AS pada Januari lalu.

Pada Ahad, beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL) antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, yang disifatkan sebagai perjanjian bersejarah di rantau ini.

Dalam masa sama, Trump turut menandatangani perjanjian perdagangan dengan Thailand dan Kemboja, selain mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar Ibrahim.

Antara hasil pertemuan itu ialah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas serta Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Mineral Penting antara Malaysia dan AS yang menandakan kerjasama strategik baharu dalam sektor ekonomi dan tenaga.

Trump juga menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 pada Ahad sebelum berangkat ke Jepun bagi meneruskan siri lawatan Asia beliau.

Untuk rekod, Trump merupakan presiden ketiga Amerika Syarikat melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnsonpada 1966 dan Barack Obama pada 2014 serta 2015. – Bernama

 

+ - reset