TEPAT.BENAR.BEBAS

Anwar, Trump sepakat perkukuh hubungan Malaysia-AS

image

Berita Berita

Kongsi

 

KUALA LUMPUR 27 Okt – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan singkat dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum pemimpin kuasa besar dunia itu berlepas ke Tokyo, Jepun bagi meneruskan siri lawatan rasminya ke Asia.

Menurut Anwar, pertemuan tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia-AS yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk dalam aspek perdagangan, teknologi dan keamanan serantau.

“Saya turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Trump atas peranan beliau dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) serta Pelan Damai Gaza yang menjadi sinar harapan ke arah keamanan adil dan berkekalan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya, Malaysia dan Amerika Syarikat bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berasaskan semangat saling menghormati, kepentingan bersama serta komitmen memperjuangkan keamanan sejagat.

Trump dijadualkan berlepas dari Malaysia pagi ini untuk meneruskan lawatan enam hari ke tiga negara Asia, dengan Jepun sebagai destinasi pertama.

Terdahulu, Trump tiba di Malaysia semalam bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya ke rantau ini atas jemputan Anwar selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Lawatan itu juga merupakan kunjungan rasmi pertama Trump ke Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden AS ke-47 pada Januari lalu.

Sepanjang lawatan dua hari di Kuala Lumpur, Trump menandatangani perjanjian perdagangan dan mineral penting bersama Malaysia, selain mengambil langkah memulihkan hubungan diplomatik dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva selepas beberapa bulan ketegangan antara kedua-dua negara.

Sidang kemuncak berkenaan turut menyaksikan detik bersejarah apabila Thailand dan Kemboja memeterai Perjanjian KL Accord bagi melaksanakan genjatan senjata dan mewujudkan pendamaian di sempadan kedua-dua negara.

Perjanjian damai bersejarah itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dalam satu majlis khas yang turut disaksikan oleh Trump dan Anwar.

 

+ - reset