TEPAT.BENAR.BEBAS

Sabah banjir lagi, mangsa di Kedah makin meningkat

image

Berita Berita

Kongsi

 

KUALA LUMPUR 27 Okt – Keadaan banjir di beberapa negeri menunjukkan perkembangan berbeza apabila Sabah kembali dilanda banjir, manakala jumlah mangsa di Kedah meningkat semula pagi ini. Dalam masa sama, situasi di Perak dan Pulau Pinang dilaporkan semakin pulih dengan penurunan jumlah mangsa.

Di SABAH, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan seramai 44 mangsa daripada 16 keluarga di Sipitang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Mini Mesapol.

“Sebanyak lima kampung terjejas akibat banjir yang melanda lewat petang semalam dan penduduk dipindahkan sejak tengah malam tadi,” menurut kenyataan JPBN Sabah.

Sementara itu di KEDAH, jumlah mangsa terus meningkat dengan Kota Setar menjadi daerah terbaharu dilanda banjir.

JPBN Kedah memaklumkan, 1,281 mangsa daripada 372 keluarga kini ditempatkan di 10 PPS, meningkat berbanding 1,169 mangsa daripada 329 keluarga malam tadi.

“Semua mangsa dari enam daerah iaitu Kota Setar, Kulim, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu dan Padang Terap ditempatkan di 10 PPS.

“Di Kota Setar, 225 orang daripada 65 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman yang dibuka pada 9.30 malam tadi manakala Kulim kekal dengan jumlah mangsa tertinggi iaitu 554 orang daripada 163 keluarga di empat PPS, diikuti Pendang dengan 330 orang daripada 90 keluarga di dua PPS,” menurut kenyataan itu.

Pokok Sena pula merekodkan 136 mangsa daripada 39 keluarga di sebuah PPS, Kubang Pasu (23 mangsa, 11 keluarga) dan Padang Terap (13 mangsa, empat keluarga).

Laman sesawang Public Infobanjir turut melaporkan tiga sungai di Kedah melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Pendang (3.55 meter), Sungai Titi Kerbau di Pendang (6.31 meter) dan Sungai Padang Terap di Kubang Pasu (4.12 meter).

Di PULAU PINANG, keadaan semakin baik apabila jumlah mangsa menurun kepada 411 orang daripada 108 keluargapagi ini berbanding 646 mangsa daripada 179 keluarga semalam.

Menurut kemas kini di laman Info Bencana JKM setakat 7.20 pagi, sebanyak 392 mangsa berada di empat PPS di Seberang Perai Utara (SPU) — SK Lahar Yooi (154 mangsa, 41 keluarga), pusat penempatan banjir Labuh Banting (114 mangsa, 31 keluarga), SK Padang Menora (78 mangsa, 21 keluarga) dan Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang (46 mangsa, sembilan keluarga).

Selain itu, 19 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di SK Guar Perahu, satu-satunya PPS masih beroperasi di Seberang Perai Tengah (SPT).

Sementara di PERAK, jumlah mangsa menurun kepada 1,129 orang daripada 362 keluarga, berbanding 1,158 orang daripada 375 keluarga malam tadi.

JPBN Perak memaklumkan, empat daerah masih terjejas, iaitu Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, dan Kerian.

Di Larut, Matang dan Selama, 361 mangsa daripada 113 keluarga ditempatkan di Masjid Ali Rouse Ulu Sepetang, SK Matang dan Surau Al-Hidayah Pondok Quint Batu 13.

Lima PPS di Manjung pula menempatkan 510 mangsa daripada 172 keluarga, manakala di Perak Tengah kekal 110 mangsa daripada 31 keluarga di SMK Layang-Layang Kiri, Parit.

Bagi daerah Kerian, 148 mangsa daripada 46 keluarga masih berada di dua PPS iaitu Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Parit Haji Aman. – BERNAMA

 

+ - reset