Lebih 49,000 warga emas, pelajar dan OKU manfaat perkhidmatan bas percuma BAS.MY
Berita Berita
KUALA LUMPUR 27 Okt – Seramai 49,611 individu termasuk warga emas, pelajar sekolah, mahasiswa dan orang kurang upaya (OKU) telah menikmati kemudahan perkhidmatan bas percuma BAS.MY yang ditawarkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) setakat Ogos lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata daripada jumlah itu, 78 peratus pengguna terdiri daripada warga emas, diikuti pelajar (13 peratus), OKU (enam peratus) dan mahasiswa (tiga peratus).
“Perkhidmatan BAS.MY di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti memberi tumpuan kepada kawasan ibu negeri dan sekitarnya, khususnya di luar Lembah Klang.
"Setakat ini, ia beroperasi di Kangar, Kota Setar, Ipoh, Seremban, Melaka, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuching, dan kini sedang diperkenalkan secara berfasa di Kota Kinabalu,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Loke menjelaskan, Johor Bahru mencatat jumlah pengguna tertinggi dengan 16,832 orang, diikuti Kuching (10,215), Ipoh (7,304), Seremban (6,310) dan Melaka (4,668).
Menjawab soalan tambahan berhubung kekurangan kemudahan perhentian bas, beliau berkata kerajaan sedang memperkukuh kerjasama sektor awam dan swasta (PPP) bagi memperluas penyediaan kemudahan tersebut di seluruh negara.
“Bukan semua perhentian bas perlu dibina oleh kerajaan atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
"MOT kini melaksanakan model kerjasama awam-swasta yang membolehkan syarikat swasta menaja serta menyelenggara perhentian bas dengan memaparkan iklan di lokasi berkenaan sebagai pertukaran.
"Ia merupakan pendekatan menang-menang yang dapat memperkasakan kemudahan perhentian bas dan laluan pejalan kaki di peringkat lapangan,” katanya.


