TEPAT.BENAR.BEBAS

'Tiada istilah VIP bayar atau VIP tak bayar' - Asyraf Wajdi tegaskan tiada layanan istimewa dalam bayaran balik pinjaman MARA

image

Berita Berita

Kongsi

 

ALOR SETAR 27 Okt – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan bahawa tiada individu diberi sebarang layanan istimewa atau keistimewaan tertentu dalam urusan pembayaran balik pinjaman, sama ada melibatkan pinjaman pendidikan mahupun perniagaan.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, berkata semua peminjam dianggap sama dan bertanggungjawab sepenuhnya melunaskan hutang masing-masing tanpa mengira status, latar belakang atau kedudukan politik.

Katanya, MARA kini bebas daripada sebarang campur tangan politik dan tidak lagi menerima ‘surat cinta’ bagi memberi kelonggaran kepada peminjam tertentu.

“Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) juga menegaskan bahawa MARA diberi kepercayaan penuh untuk memastikan setiap sen wang rakyat tidak dibazirkan.

“Dalam hal ini, kita tidak melihat siapa mereka. Tiada istilah VIP bayar atau VIP tak bayar. Semua yang tidak membayar hutang, semuanya dianggap VIP,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemerkasaan Wanita (PPW) Peringkat Negeri Kedah dan Perlis di sini, hari ini.

Asyraf menjelaskan, MARA kini memperkukuh disiplin kewangan dalaman dengan pemantauan ketat terhadap prestasi pembayaran balik pinjaman bagi memastikan pengurusan kewangan lebih berkesan.

Katanya, laporan bayaran balik kini dibentangkan secara berkala kepada pihak pengurusan dan majlis bagi menilai keberkesanan langkah pemulihan yang diambil.

“Sekarang, Alhamdulillah, kita sudah mula penyusunan semula dari segi pengoperasian dan penekanan terhadap disiplin kewangan. Antara aspek penting ialah memastikan pembayaran balik pinjaman berjalan lancar.

“Setakat ini saya berpuas hati kerana kadar pembayaran balik semakin meningkat. Ini juga menunjukkan kesedaran masyarakat makin tinggi bahawa setiap sen yang mereka bayar semula akan dimanfaatkan untuk membantu orang lain,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa MARA tidak akan berkompromi terhadap peminjam culas dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka terus gagal melunaskan bayaran.

“Tiga bulan tak bayar, kita terus hantar notis mahkamah. Jangan senyap. Yang penting, datang berbincang. Kita fleksibel untuk bantu mereka susun semula pinjaman,” katanya.

Asyraf turut memaklumkan bahawa MARA akan menganjurkan satu program khas ‘Peace of Mind’ minggu depan bagi memberi peluang kepada peminjam hadir dan berbincang mengenai penstrukturan semula pinjaman masing-masing.

“Program ini memberi ruang kepada mereka yang menghadapi kesukaran untuk berbincang terus dengan pihak MARA tentang cara dan kaedah bayaran balik yang sesuai,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa sektor pendidikan merekodkan jumlah bayaran balik tertinggi berbanding pinjaman perniagaan, namun secara keseluruhannya kadar pembayaran balik menunjukkan trend peningkatan positif.

 

+ - reset