TEPAT.BENAR.BEBAS

Dua remaja ditahan tendang motosikal polis hingga anggota cedera di Temerloh

image

Berita Berita

Kongsi

TEMERLOH 27 Okt – Dua remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas dipercayai menendang motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) hingga menyebabkan seorang anggota polis cedera dalam kejadian di Jalan Tengku Ismail, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika anggota polis berusia 23 tahun bersama rakan setugas sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan.

“Mereka terserempak dengan sebuah motosikal hitam tanpa nombor pendaftaran yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Apabila dikejar, suspek bertindak menendang motosikal polis menyebabkan anggota terjatuh dan cedera di tangan serta kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Temerloh untuk rawatan, manakala kedua-dua suspek melarikan diri selepas kejadian.

Menurut Mohd Nasyim, dua remaja berkenaan ditahan kira-kira jam 2.30 petang hari sama, dan sebuah motosikal hitam yang dipercayai digunakan semasa kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan bagi menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Tindakan lanjut juga boleh diambil di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan individu tanpa lesen sah menunggang motosikal.

Ibu bapa atau penjaga turut boleh disiasat di bawah Seksyen 39 akta sama,” katanya.

+ - reset