TEPAT.BENAR.BEBAS

Lawatan Trump kukuhkan hubungan strategik Malaysia-AS

image

Berita Berita

Kongsi

KUALA LUMPUR 28 Okt - Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D. Kagan memuji kemesraan rakyat Malaysia terhadap Presiden AS, Donald Trump, yang disifatkannya sebagai lambang hubungan mesra dan saling menghormati antara kedua-dua negara.

Menurut beliau, lawatan Trump ke Kuala Lumpur bukan sahaja memperkukuh kerjasama dua hala, malah membuka bab baharu dalam hubungan strategik Malaysia dan Amerika Syarikat.

“Yang paling penting ialah kita kini meningkatkan tahap hubungan ke peringkat seterusnya. Kita dapat lihat hubungan AS-Malaysia semakin bersatu dalam beberapa bidang utama,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Trump berada di Kuala Lumpur bagi memuktamadkan rundingan perdagangan dan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai Kemboja–Thailand bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang kemuncak berkaitan.

Kagan berkata, Presiden Trump amat tertarik dengan keindahan serta keramahan rakyat Malaysia sepanjang lawatannya.

“Presiden memberitahu Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebelum berlepas bahawa beliau sangat gembira kerana seluruh dunia kini dapat melihat betapa hebatnya Malaysia,” katanya.

Menurut Kagan, lawatan itu turut membuktikan Malaysia bukan sekadar destinasi menarik untuk dikunjungi, tetapi juga rakan strategik penting kepada Amerika Syarikat di rantau ini.

“Saya fikir ia menunjukkan bahawa biarpun sebelum ini kita pernah tidak sehaluan, masih ada tarikan kuat antara Amerika Syarikat dan Malaysia,” tambahnya.

Kagan turut menjelaskan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS–Malaysia akan memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.

Dalam lawatan berkenaan, Trump dan Anwar sebagai Pengerusi ASEAN turut menyaksikan pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet — sekali gus menoktahkan konflik bersenjata di sempadan kedua-dua negara yang tercetus sejak 24 Julai lalu.

Kagan memuji keberanian kedua-dua pemimpin berkenaan yang disifatkannya “berani melakukan apa yang betul untuk rakyat, ekonomi dan kestabilan rantau ini.”

Trump berlepas dari Malaysia semalam dan dijadual meneruskan jelajah diplomatiknya ke Jepun dan Korea Selatan.

+ - reset