TEPAT.BENAR.BEBAS

Budak 4 tahun maut dilanggar MPV ketika main basikal di Kuantan

image

Berita Berita

Kongsi

 

KUANTAN 28 Okt - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika bermain basikal berhampiran Surau Pak Mahat, Perumahan Rakyat Pak Mahat, Jalan Tanjung Lumpur, di sini, pada petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa, Muhammad Zulfan Adwa Mohd Zulkifli, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 malam daripada seorang lelaki berusia 32 tahun, pemandu MPV jenis Perodua Alza yang terlibat dalam insiden tersebut.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu, yang bekerja sebagai pekebun, sedang memandu dari arah Perumahan Rakyat Pak Mahat menuju ke Jalan Tanjung Lumpur.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, semasa membelok ke kiri tanpa disedari pemandu, MPV tersebut telah melanggar mangsa yang sedang menunggang basikal di tengah jalan.

“Mangsa yang cedera dibawa ke HTAA untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.24 pagi Selasa ketika dirawat di Wad PICU hospital berkenaan.

Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara dan denda jika sabit kesalahan.

+ - reset