Pegawai bank didakwa 79 pertuduhan makan rasuah lebih RM480,000 lepaskan pinjaman peribadi pelanggan lebih had
Berita Berita
KUALA TERENGGANU 28 Okt – Seorang pegawai bank dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas 79 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM488,050 bagi membantu proses pinjaman peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.
Tertuduh, Syed Mohd Muhaimin Syed Mohd Mashrof, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, Syed Mohd Muhaimin yang bertugas sebagai Ketua Unit Pembiayaan di sebuah cawangan bank di Kepong, Kuala Lumpur, didakwa menerima wang suapan yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya sebagai dorongan untuk membantu memproses permohonan pinjaman peribadi pelanggan syarikat di bank berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 2022 hingga 2024, serentak dengan permohonan pinjaman pelanggan sama di beberapa institusi kewangan lain, sehingga menyebabkan mereka memiliki pinjaman melebihi had kelayakan sebenar.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan beliau melapor diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula November ini.
Kes berkenaan akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, dan tarikh sebutan semula akan ditetapkan kemudian.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee, manakala tertuduh diwakili peguam, Arik Zakri Abdul Kadir.


