TEPAT.BENAR.BEBAS

Perdagangan, pelaburan dan isu serantau tumpuan perbincangan Anwar-Li Qiang

image

Berita Berita

Kongsi

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan serta menangani isu serantau menjadi fokus utama pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang di sini pagi ini.

Difahamkan, perbincangan tertutup selama 15 minit itu turut menyentuh beberapa isu penting rantau ini, termasuk situasi di sempadan Kemboja-Thailand serta krisis berterusan di Myanmar, dengan China menyatakan sokongan terhadap usaha damai bagi menyelesaikan konflik tersebut.

Kedua-dua pemimpin juga berbincang mengenai inisiatif memperkukuh perdagangan dan pelaburan terutama dalam sektor automotif dan teknologi tinggi, termasuk pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

Selain itu, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada projek infrastruktur utama, antaranya peluasan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, pembangunan sektor unsur nadir bumi (REE), projek saluran paip air Perak–Pulau Pinang serta pengukuhan industri halal.

Aspek pelancongan dan mobiliti rakyat turut diketengahkan dengan kedua-dua pihak berusaha meningkatkan kesalinghubungan udara termasuk menambah penerbangan kargo dari China ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kerjasama dalam industri semikonduktor dan inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) turut dibincangkan, dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN mengalu-alukan penyertaan China dalam memacu kerjasama tenaga mampan di rantau ini.

Dalam bidang ekonomi digital, Malaysia memperkenalkan peluang pelaburan baharu kepada syarikat teknologi terkemuka China untuk mengembangkan operasi serantau mereka di negara ini.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara.

“Anda telah berkunjung ke Malaysia banyak kali, begitu juga saya ke China. Saya menghargai penyertaan anda, ia amat bermakna kepada Malaysia dan ASEAN,” katanya.

“Terima kasih atas jemputan Presiden Xi Jinping untuk ulang tahun ke-80 China dan saya berharap dapat bertemu dengannya di Korea Selatan dalam beberapa hari ini,” tambah beliau.

Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, timbalannya Liew Chin Tong, serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Li Qiang kemudiannya menghadiri majlis menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) yang dinaik taraf, diikuti Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diadakan di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan dan pemimpin dari lebih 30 negara dan organisasi antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama serantau.

+ - reset