Polis masih buru pencuri kabel MRT di Taman Desa
Berita Berita
KUALA LUMPUR 28 Okt – Polis sedang mengesan kumpulan dipercayai terbabit dalam kejadian kecurian kabel di portal Transit Aliran Massa (MRT) Taman Desa, di sini, yang dilaporkan berlaku pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook, berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.
“Setakat ini pihak polis masih giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek terbabit dalam kes ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Terdahulu, pihak polis menerima laporan mengenai pencerobohan di kawasan portal MRT Taman Desa selepas pagar keselamatan didapati dipotong dan dibiarkan dalam keadaan terbuka.
Hoo berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh Polis Bantuan MRT Laluan Putrajaya Sungai Besi pada 12.41 tengah hari Sabtu, sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan di lokasi.
“Pemeriksaan mendapati kabel komunikasi milik MRT telah dikumpulkan berhampiran tiang Pier 0373,” katanya.
Sementara itu, Rapid Rail Sdn. Bhd., pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, dalam kenyataan berasingan mengesahkan bahawa kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan disyaki menjadi punca gangguan operasi tren di Laluan Putrajaya.
Insiden itu menjejaskan perjalanan penumpang antara Stesen Kwasa Damansara dan Stesen Putrajaya Sentral, sebelum operasi kembali dipulihkan secara berperingkat.
Polis menasihati orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan bagi membantu siasatan dan mengekang kejadian sama berulang.


