TEPAT.BENAR.BEBAS

Anwar: Kerjasama ASEAN perlu lebih daripada sekadar perjanjian di atas kertas

image

Berita Berita

Kongsi

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Pembabitan bermakna dengan rakan kongsi ASEAN perlu melangkaui perjanjian di atas kertas, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menekankan kepentingan memastikan manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.

Menurut Anwar, Malaysia akan memantau pelaksanaan setiap komitmen yang dibuat bagi memastikan rakyat memperoleh faedah sebenar daripada akses perdagangan, pelaburan dan kerjasama serantau, di samping melindungi kepentingan serta autonomi negara.

“Pendirian kita akan kekal berasaskan kepada prinsip keamanan, kemakmuran dan integriti, di samping bekerjasama dengan sahabat dan negara jiran.

"Bersama-sama, kita akan merangka hala tuju yang memartabatkan tradisi kita, menjamin masa depan dan kesejahteraan rakyat Malaysia serta warga ASEAN,” katanya menerusi catatan di media sosial rasmi hari ini.

Anwar turut menyifatkan lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia sebagai detik penting dalam mengukuhkan semula hubungan Putrajaya–Washington, serta menunjukkan komitmen bersama terhadap keamanan dan kemakmuran serantau.

“Pertemuan kami berlandaskan rasa hormat terhadap kepentingan bersama, memperbaharui dialog perdagangan, memperkukuh kerjasama rantaian bekalan dan mineral penting serta menegaskan semula peranan utama ASEAN dalam membentuk kerjasama Asia-Pasifik,” ujarnya.

Trump menjadi presiden Amerika Syarikat ketiga dalam sejarah yang melawat Malaysia, selepas Lyndon B. Johnson (1966) dan Barack Obama (2014 dan 2015).

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Anwar menegaskan bahawa lawatan tersebut tidak boleh ditafsir sebagai sokongan kepada mana-mana blok kuasa, sebaliknya menunjukkan bahawa Malaysia mampu berperanan sebagai rakan neutral, dipercayai dan efektif.

“Menghubungkan ekonomi, memudah cara dialog dan menyumbang kepada kestabilan. Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand merupakan contoh jelas bahawa peranan diplomatik strategik kita memberi nilai,” jelas beliau.

Dalam masa sama, Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada Trump atas komitmennya dalam memajukan Pelan Damai Gaza, yang diharap dapat menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.

“Mesej saya jelas, Palestin harus selamat, merdeka dan berdaulat.
Malaysia tetap teguh dengan prinsip kemanusiaan sejagat, memperjuangkan keamanan yang adil dan berkekalan, memperkukuh solidariti ASEAN, serta mengangkat martabat Malaysia sebagai jambatan ke arah dunia yang aman, makmur dan bermaruah,” tegas beliau.

+ - reset