Kerajaan bincang eKYC dengan Meta, Google dan X minggu depan
Berita Berita
KUALA LUMPUR 28 Okt. – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama beberapa jabatan serta agensi kerajaan akan mengadakan pertemuan dengan syarikat pengendali media sosial utama, termasuk Meta Platforms Inc (Meta), Google dan X di Singapura minggu depan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pertemuan itu bertujuan membincangkan mekanisme terbaik bagi memastikan pelaksanaan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) berjalan selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).
Beliau menjelaskan, mekanisme tersebut penting bagi mengelak ketirisan maklumat peribadi semasa proses pengesahan identiti yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID.
“Paling penting, kita mahu memastikan keselamatan kanak-kanak ketika menggunakan platform dalam talian.
Antara cabaran utama ialah melindungi mereka daripada pemangsa seksual atau pedofilia, dan untuk itu pelaksanaan proses eKYC amat diperlukan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan oleh Syahredzan Johan (PH–Bangi) yang meminta penjelasan mengenai mekanisme yang digunakan kerajaan untuk mengekang akses media sosial bagi kanak-kanak bawah umur 16 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi turut mengulas keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan bahawa perkataan “jelik” dan “menyakitkan hati” di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah tidak berperlembagaan.
“Kerajaan menghormati keputusan itu dan kini sedang meneliti aspek perlembagaan serta undang-undang berkaitan.
"Atas nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC), kerajaan telah memfailkan permohonan kebenaran rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
“Memandangkan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut masih dalam proses rayuan, semua pihak wajar menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum membuat sebarang pendirian berkaitan elemen ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ dalam Seksyen 233,” katanya.
Fahmi menegaskan bahawa proses kehakiman perlu dihormati bagi mengelakkan spekulasi atau kenyataan yang boleh menjejaskan keputusan mahkamah serta menimbulkan isu subjudis.
Menurut keputusan Mahkamah Rayuan itu, peruntukan Seksyen 233 yang dianggap tidak sah hanya terpakai kepada versi sebelum pindaan Akta 588.


