Malaysia serah kepengerusian ASEAN kepada Filipina, akhiri Sidang Kemuncak ke-47 dengan kejayaan
Berita Berita
KUALA LUMPUR 28 Okt – Malaysia akan menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina, antara acara kemuncak pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata Malaysia menyokong penuh pelantikan Filipina sebagai Pengerusi ASEAN yang baharu selepas tamat Sidang Kemuncak kali ini.
“Insya-Allah, dengan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini, Malaysia telah menunaikan amanah sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tekad yang cemerlang.
“Kita telah membuktikan bahawa di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan,’ ASEAN bukan sahaja kekal relevan, tetapi turut menjadi pemain utama dalam membentuk masa depan rantau Indo-Pasifik yang stabil, makmur dan adil.
“Semoga semangat perpaduan dan kerjasama yang dibina di Kuala Lumpur ini akan terus subur dan membawa manfaat berkekalan buat seluruh komuniti ASEAN,” katanya dalam Taklimat Pejabat Perdana Menteri sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, hari ini.
Tambah beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan mengadakan beberapa sesi dua hala (bilateral) dan mempengerusikan tiga sidang kemuncak utama, iaitu:
-
Sidang Kemuncak ASEAN–China ke-28,
-
Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand, dan
-
Sidang Kemuncak ASEAN–Australia ke-5.
“Sidang-sidang ini memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pembangunan mampan.
“Antara kemuncaknya ialah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 (ACFTA 3.0) yang akan memperkukuh hubungan ekonomi serantau,” katanya.


