Pesara hilang simpanan lebih RM3 juta terpedaya skim pelaburan palsu
Berita Berita
JOHOR BAHRU 28 Okt - Seorang pesara kerajaan berusia 62 tahun berputih mata selepas kerugian RM3.07 juta akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud secara atas talian.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata wanita itu membuat laporan polis pada Jumaat lalu selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa tertarik dengan iklan pelaburan saham di media sosial pada Julai laluyang menjanjikan keuntungan tinggi dan mudah.
“Mangsa menekan pautan iklan tersebut dan berhubung dengan suspek sebelum diminta memuat naik aplikasi pelaburan di telefon pintar kononnya bagi memantau pelaburan yang dibuat.
Percaya dengan janji keuntungan segera, mangsa kemudian membuat 29 transaksi berjumlah RM3.07 jutake enam akaun bank berbeza atas arahan suspek antara **19 Ogos hingga 15 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata, mangsa mula mengesyaki sesuatu apabila gagal mengeluarkan wang pelaburannya menerusi aplikasi berkenaan selain tidak dapat lagi menghubungi suspek.
“Mangsa kemudian menyedari telah diperdaya sebelum tampil membuat laporan polis. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan luar biasa dan segera, serta menyemak kesahihan platform melalui Semak Mule atau pihak berkuasa berkaitan sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.


